Fantasma dalam bahasa Itali membawa maksud hantu, dan Pagani Zonda Fantasma Evo ini ada sebab tersendiri menggunakan nama Fantasma itu. Semasa keluar dari kilang pada tahun 2005, ia asalnya adalah sebuah Zonda F dengan transmisi manual dan stereng di sebelah kanan.

Namun, ia terlibat dalam kemalangan teruk di Hong Kong, dan pemiliknya menghantar sisa kenderaan yang ada kepada Pagani untuk dibaik pulih. Pemiliknya melihat ini sebagai peluang untuk menaik taraf Zonda yang dimiliki – spesifikasi teknikal mengikut Zonda 760, manakala panel badan gentian karbon terbuka pula daripada model Cinque dan Zonda R.

Masuk tahun 2017, ia diberi peningkatan baru iaitu kotak gear manual, menggantikan unit sequential yang ada sebelum ini. Enjin pula adalah unit V12 NA 7.3 liter yang diambil daripada AMG dan menyampaikan kuasa sehingga 760 hp kepada roda belakang sahaja.

Walaupun sekarang Pagani lebih memberi fokus kepada Huayra, pemilik ini membuktikan tiada yang dapat menggantikan Zonda dan enjin naturally aspirated (NA). Mungkinkah nanti Pagani akan menghidupkan kembali model Zonda nanti?