Penyedia perkhidmatan tunjuk arah Waze telah mengumumkan pengenalan perkhidmatan aplikasi itu bagi versi Android Auto yang boleh digunakan di dalam kenderaan. Aplikasi ini boleh dikendalikan melalui sistem kawalan sedia ada serta paparan skrin yang lebih besar pada mana-mana kenderaan yang dilengkapi aplikasi berkenaan.

Untuk menggunakannya, apa yang perlu dilakukan ialah dengan menyambung telefon pintar yang mempunyai aplikasi itu dengan wayar ke port USB dalam kenderaan yang dilengkapi ciri Android Auto. Ini akan membolehkan paparan Waze muncul pada skrin kenderaan. Dengan ini, pengguna antara lain boleh mendapat panduan arah melalui hanya satu sentuhan sahaja bagi laluan Home, Work atau Favorites.

Selain itu, ia juga boleh dikendali menggunakan suara dengan pernyataan “Ok, Goole” diikuti dengan alamat atau destinasi yang ingin dituju. Untuk menikmati kemaskini terbaru ini, pengguna hanya perlu memastikan aplikasi Waze di dalam telefon adalah dari versi yang terkini. Kemudian, sambungkannya menggunakan wayar ke dalam kereta yang menyokong ciri Android Auto dan pilih tunjuk arah Waze ia bersedia untuk digunakan.

Bagi ciri arahan suara pula, butang mikrofon pada kawalan stereng perlu ditekan terlebih dahulu untuk mengaktifkan mikrofon Android Auto. Waze menyatakan bahawa ini satu perkembangan lagi yang dapat mereka tawarkan untuk memudahkan pengguna dalam usaha mereka untuk memberikan pengalaman pemanduan dan di jalan raya yang lebih baik untuk komuniti.