Pakatan Renault-Nissan mencatatkan jualan kenderaan bagi 1H tahun ini dengan 5,268,079 unit, gabungan dari jenama-jenama seperti Renault, Nissan, Mitsubishi dan Dacia. Ini meletakkan kumpulan syarikat ini mengatasi jualan kumpulan Volkswagen bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Kumpulan automotif dari Jerman itu mencatatkan jualan 5,115,900 unit bagi tempoh sama.

Peningkatan jualan datang dari beberapa model Renault seperti Clio, Megane, Captur serta model-model Dacia seperti Sandero dan Duster. Jenama Perancis itu merekodkan jualan sebanyak 1,879,288 kenderaan baru bagi separuh pertama tahun ini — pasaran terbesarnya di Perancis, Russia dan Itali.

Selain itu, jumlah jualan positif itu turut disumbang oleh model Nissan seperti X-Trail/Rogue, Sentra/Sylphy, Qashqai, dan Altima/Teana. Jenama Nissan menyumbang sebanyak 2,894,488 unit kenderaan untuk ini — dengan pasaran terbesarnya adalah di Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Mitsubishi pula merekodkan jualan sebanyak 495,000 unit bagi tempoh sama, dengan permintaan besar terhadap model Outlander dan bagi rantau ASEAN, model Pajero Sport yang tertinggi. Pakatan itu juga mencatatkan jumlah jualan kenderaan elektrik yang menggalakkan; sebanyak 481,151 unit yang terdiri daripada Nissan Leaf, Renault Zoe, Mitsubishi i-MiEV dan Mitsubishi Outlander PHEV.

“Kami akan terus memanfaatkan skala ekonomi yang luas serta kehadiran kami di pasaran global untuk memberikan nilai terbaik dari semua jenama di bawah pengurusan kami tahun ini, dan dalam masa yang sama menawarkan barisan teknologi terkini kepada pelanggan, terutamanya model-model elektrik,” ujar ketua Pakatan Renault-Nissan, Carlos Ghosn.