Tidak sampai tiga tahun dalam pasaran, SUV ladder frame tujuh-tempat duduk Isuzu MU-X kini telah pun diperkenalkan dalam versi facelift. Setelah mendarat di pasaran Thailand Mac lalu, hari ini model facelift 2017 dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia.
Isuzu MU-X dipasarkan dalam dua varian iaitu 2.5L 4×2 automatik dijual pada harga RM176,640.40 dan juga 2.5L 4×4 automatik dijual pada harga RM183,000.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran tetapi termasuk GST. Setiap pembelian MU-X baharu juga diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Versi kemaskini ini menerima rupa luaran lebih segar menampilkan bampar hadapan dengan rekaan baharu pada kemasan perumah lampu kabus (kini diberikan lebih banyak elemen krom) serta gril dengan rekabentuk baharu. MU-X baharu ini juga kini diberikan lampu hadapan LED (projektor halogen pada model sebelum ini) yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang LED.
Ia juga diberikan bampar belakang yang dirombak semula. Bentuk perumah lampu belakang masih kekal sama, tetapi grafik bahagian dalam diubah bagi diselarikan dengan rekaan pada bahagian hadapan. Model ini turut diberikan spoiler belakang baharu yang lebih menyerlah dan juga rim aloi 18-inci dengan rekaan baharu.
Satu ciri untuk membezakan varian 4×2 dan 4×4 adalah pada antena di mana model varian asas diberikan antena biasa, manakala varian tertinggi diberikan antenna sirip yu.
Pada bahagian dalam, rekaan keseluruhan masih lagi kelihatan seiras dengan model sebelum ini tetapi diberikan berberapa kemasan lebih premium termasuk penggunaan plastik sentuhan-lembut dan juga trim kayu palsu pada berberapa bahagian kabin. Papan pemuka juga masih lagi menggunakan susunan yang sama seperti sebelum ini dan juga seiras pada unit yang dipadankan pada trak pikap Isuzu D-Max.
Untuk membezakan antara kedua-dua varian, model 4×2 diberikan skrin sesentuh tujuh-inci manakala model 4×4 diberikan skrin lapan-inci. Kedua-dua unit pemain utama tersebut menyokong fungsi MP3, Bluetooth dan Ipod serta diberikan input AUX dan juga USB, dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Varian tertinggi turut diberikan monitor DVD yang diletakkan pada bahagian bumbung.
Ciri lain yang diberikan secara standard untuk kedua-dua model termasuk paparan informasi e-LUMAX, ‘Passive Entry and Start System’ (PESS – sebelum ini hanya ditawarkan pada varian tertinggi) , tempat duduk (berwarna Beige, elemen rekaan baharu, larasan berkuasa enam-hala untuk pemandu) dan roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta sistem pendingin hawa automatik bersama motor penghembus dengan kawalan berasingan untuk tempat duduk barisan kedua dan ketiga.
Tiada perubahan mekanikal diberikan pada model baharu ini di mana ia masih dijana enjin turbo diesel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama kotak gear lima-kelajuan automatik dengan penukar gear manual. Isuzu Malaysia masih lagi belum menawarkan enjin RZ4E-TC 1.9 litre Ddi Blue Power turbodiesel, yang ditawarkan pada D-Max dan MU-X pasaran Thailand.
Untuk keselamatan, kesemua varian MU-X diberikan sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA) dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Berbanding model terdahulu yang hanya menerima dua beg-udara, versi baharu ini diberikan enam unit beg-udara.
Untuk anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi dan pembelian Isuzu MU-X Type-S ini, anda boleh layari laman Carbase.my.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.