Lexus LS 500 mula diperkenalkan kepada dunia Januari lalu, dan tiga bulan selepas itu, model LS 500h, iaitu versi hibrid kepada kereta generasi kelima itu pula muncul. Kini, ia membuat penampilan pertama di Asia apabila dipamerkan semasa GIIAS 2017 dan diletakkan atas satu platform yang tinggi.
Kereta ini akan bersaing dengan Mercedes-Benz S-Class dan BMW 7 Series, dan pasaran Indonesia akan menerima model LS 500L serta LS 500hL hibrid, dengan harga yang dilaporkan sekitar Rp3.5 billion (RM1.125 juta). Kereta yang dipamerkan ini adalah versi hibrid LS 500h.
Ia dikuasakan oleh e jin petrol V6 3.5 liter dengan teknologi VVT-i dan Direct Injection, mampu menghasilkan 295 hp dan 350 Nm tork secara sendiri. Enjin ini juga mendapat tambahan kuasa daripada dua motor elektrik, dan apabila digabung, mampu menghasilkan keseluruhannya 354 hp kuasa. Transmisi yang digunakan pula adalah gabungan unit automatik empat kelajuan dan CVT.
Walaupun teknologi serta spesifikasi kenderaan ini cukup maju, apa yang membuat ia lebih menyerlah adalah penampilannya. Bahagian luarnya lebih berlekuk dan megah berbanding dulu, manakala dalamnya pula memberi makna baru kepada kemewahan dengan kebanyakan bahagian berwarna merah dan hitam.
Lexus juga cuba mengetengahkan konsep hospitaliti Jepun yang dinamakan sebagai ‘omotenashi’ dan pada kenderaan, ia ditejemahkan sebagai “menjaga pemandu dan penumpang, mengambil kira keperluan mereka, memberikan keselesaan serta melindungi mereka daripada sebarang bahaya.”
“Membangunkan model perdana seperti ini memerlukan anjakan paradigma yang besar. Daripada hanya tertakluk kepada apa yang menyatakan sebuah kereta mewah sebelum ini, kami sebaliknya mensasarkan pembinaan kereta yang lebih inovatif, beremosi dan mempunyai tarikan sensual, yang boleh menarik pandangan pelanggan serta memberi nilai yang baru,” kata ketua juruteranya, Toshio Asahi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.