Selepas satu bulan Lexus LS 500 baru membuat penampilan dunia pertama di Detroit Auto Show, Lexus bersedia untuk menampilkan bulan versi hibrid bagi sedan mewah generasi kelima ini, iaitu LS 500h semasa Geneva Motor Show bulah hadapan. Setakat ini, syarikat itu hanya mengeluarkan satu gambar, yang anda boleh lihat di atas.

Perincian lain masih lagi dirahsiakan, tetapi boleh dijangka akan menggunakan pakej kuasa seperti LC 500h coupé. Kereta tersebut dipacu oleh enjin V6 suntikan terus 3.5 liter Dual VVT-i, dengan kuasa 294 hp pada 6,600 rpm dan 348 Nm tork pada 4,900 rpm, digabungkan bersama motor elektrik dan bateri lithium-ion 44.6 kW, menjadikan kuasa keseluruhan sebanyak 354 hp.

Sistem yang dipanggil Multi Stage Hybrid pada kenderaan itu juga menampilkan penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan, bagi memberikan rasa yang lebih terus kepada pemandu. Transmisi baru ini menggantikan gear pengurangan yang memperkuat kuasa enjin pada hibrid biasa, seterusnya memberikan lebih kuasa pemanduan apabila memecut.

Sistem ini meniru rasa kotak gear 10 kelajuan – eCVT mempunyai tiga nisbah gear maya, dibahagikan dengan sembilan melalui tiga nisbah pertama kotak gear tersebut. Gear keempat dan terakhir dianggap sebagai gear 10 dalam nisbah maya. Ini membolehkan kelajuan enjin ditingkatkan secara linear dan terus semasa memcut, seterusnya menghapuskan kesan rubber band yang ada pada kotak gear CVT biasa.

Pada bahagian lain, LS 500h juga boleh dijangka mempunyai kelengkapan sama sepert LS 500 termasuk tempat duduk yang boleh dilaras secara elektronik 28 pergerakan, tempat duduk yang boleh disandar 48 darjah ke belakang, fungsi mengurut, penyejuk dan pemanas pada tempat duduk hadapan dan belakang, skrin paparan 12.3 inci dan head-up display paling besar di dunia – 24 inci.

Juga diberikan adalah Active Noise Control, sistem bunyi 3D Mark Levinson dengan pembesar suara di bumbung, serta Lexus Safety System + dengan pengesan dan pengelak pejalan kaki. Satu lagi ciri baru adalah Lexus CoDrive yang memberikan ciri pemanduan separa automatik di atas lebuh raya.

Lexus LS dibina atas platform global baru GA-L – yang pertama kali digunakan pada model LC – menjanjikan kawalan kenderaan lebih lincah dan prestasi yang tidak menjejaskan keselesaan. Penggunaan bahan baru serba ringan dapat mengurangkan lebih 90 kg daripada platform dan badan kenderaan ini sahaja.

GALERI: Lexus LC 500h