Toyota Aqua GR Sport dilancarkan di Jepun – Prius C dengan rupa lebih garang dan suspensi lebih sporty

Ingat lagi Toyota Prius C yang pernah dijual secara rasmi di Malaysia satu ketika dahulu? Model berkenaan sebenarnya telahpun diperkenalkan dalam versi generasi kedua pada 2021, namun hanya dijual dalam pasaran domestik Jepun. Seperti model generasi sebelumnya, di Jepun Prius C dikenali sebagai Toyota Aqua, dan pada September tahun lalu ia telahpun dilancarkan dalam versi facelift yang diberikan muka ‘jerung hammerhead‘ seperti model-model terbaharu Toyota yang lain.

Dan kini Toyota Aqua facelift berkenaan diperkenalkan pula dalam versi lebih sporty, dikenali sebagai Toyota Aqua GR Sport. Ia dijual pada harga 3,238,400 yen (sekitar RM81k), menjadikan ia sebagai varian Aqua paling mahal di Jepun berbanding varian Z,G dan X yang dijual pada harga antara 2.497 juta yen dan 3,072,300 yen (RM62k dan RM77k).

Muka ‘jerung hammerhead‘ versi facelift dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C serta bersambung dengan jalur LED pada bahagian tengah dan berintergrasi dengan lampu utama ini sudah pun membuatkan Aqua lebih sporty dari sebelum ini. Jadi apabila ia digandingkan dengan bampar hadapan GR Sport yang menampilkan gril seakan diambil dari GR Corolla serta datang dengan spoiler bawah, rupa Aqua GR Sport ini berubah jauh lebih agresif.

Toyota Aqua GR Sport dilancarkan di Jepun – Prius C dengan rupa lebih garang dan suspensi lebih sporty

Kia aero GR Sport ini turut hadir dengan skirt sisi lebih labuh, bampar belakang dengan diffuser serta kemasan sarang lebah. Ia juga menerima rim aloi 17-inci GR Sport, angkup brek kemasan merah serta lencana-lencana GR Sport yang dilekat pada bahagian hadapan dan belakang.

Manakala pada bahagian dalaman, Aqua GR Sport ini menerima tempat duduk sport dengan balutan nubuck dan kulit sintetik serta sulaman logo GR pada perehat kepala. Rasa lebih sporty dalam kabin Aqua GR Sport ini turut disumbang oleh perapi-perapi dalam kemasan gun metal, roda stereng tiga jejari balutan kulit GR Sport dan juga set pedal aluminium. Kunci model ini juga turut disertakan dengan logo GR.

Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan di mana Aqua GR Sport ini masih digerakkan dengan enjin M15A-FXE 1.5 liter NA tiga-silinder berkuasa 91 PS dan tork maksima 120 Nm. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear E-CVT untuk memacu roda hadapan, serta dua motor elektrik bagi membentuk sistem hibrid.

Toyota Aqua GR Sport dilancarkan di Jepun – Prius C dengan rupa lebih garang dan suspensi lebih sporty

Salah satu dari motor tersebut adalah unit generator 1MM berkuasa 6.4 PS/52 Nm, manakala satu lagi merupakan motor utama 1NM berkuasa 80 PS/141 Nm. Jadi secara keseluruhan unit rangkaian kuasa hibrid pada Toyota Aqua GR Sport ini membekalkan kuasa sehingga 116 PS. Motor-motor elektrtik berkenaan menerima bekalan kuasa elektrik menerusi bateri nikel hidrat logam (NiMH) 5 Ah.

Walau bagaimanapun Toyota masih memberikan beberapa talaan prestasi pada stereng dan casis Aqua GR Sport ini bagi memberikan rasa pemanduan yang lebih sporty. Antaranya termasuk talaan spesifik khas pada sistem stereng bantuan kuasa elektrik, talaan semula pada suspensi dan juga penambahan pendakap bawah badan dan juga penguat pada bampar belakang.

Ia juga menerima beberapa penambahan perincian yang lain seperti sistem infotainmen dengan skrin 10.5-inci, pemantau pandangan panaromik, serta pakej Comfort yang datang dengan pemanas roda stereng dan tempat duduk, poket belakang tempat duduk penumpang dan juga pelindung matahari dengan cermin solek.

Tags: