Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa sebanyak 6,416 unit pengecas awam bagi kenderaan elektrik (EV) telah dipasang di seluruh negara setakat 31 Mei 2026, di mana ia terdiri dari 2,143 pengecas pantas DC dan 4,273 unit selebihnya adalah pengecas AC.
Kementerian itu memberitahu perkara ini dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam dan dilaporkan oleh Bernama. Jawapan berkenaan adalah untuk menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu mengenai pendekatan dan perancangan strategik kerajaan dalam memperluas penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
“Bagi menangani cabaran kekurangan pengecas, kerajaan telah mengenal pasti isu-isu yang timbul dan telah menyusun serta melaksanakan langkah-langkah bagi meningkatkan bilangannya di seluruh negara. Dalam hal ini, pendekatan ‘Whole-of-Government’ terus diperkukuh melalui pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecas EV (GPP EVCB) oleh PLANMalaysia yang mempercepatkan kelulusan sehingga 14 hari bekerja,” kata kementerian itu.
Selain itu ia turut mengadakan libat urus berterusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Charging Point Operator (CPO), Persatuan Industri Pengecas EV (PIPEV) dan Malaysia Zero Emission Vehicle Association (MyZEVA),” tambah MITI.
Malaysia gagal mencapai sasaran 10,000 pengecas EV awam di seluruh negara menjelang akhir 2025 yang telah ditetapkan sebelum ini. Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan beberapa bulan lalu bahawa pada hari terakhir 2025, jumlah pengecas yang ada ialah 5,624 unit, di mana hanya 1,923 unit daripadanya adalah DC, bersamaan 34%.
Semalam Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia, Sim Tze Tzin hari ini berkata di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang memperhalusi dasar dan insentif yang diberikan untuk mempercepat pembangunan ekosistem EV, termasuk memperluaskan kemudahan pengecasan di seluruh negara.
“Pembinaan kemudahan pengecasan memerlukan pencawang elektrik bagi memastikan bekalan kuasa yang mencukupi,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan, termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), untuk membina lebih banyak pencawang elektrik, dan sedang mengadakan perbincangan untuk menyediakan insentif kepada pengendali kemudahan pengecasan (CPO) bagi menggalakkan pembinaan lebih banyak pengecas.
“Jika tiada pencawang elektrik, tiada pihak yang boleh membina kemudahan pengecasan kerana bekalan kuasa tidak mencukupi. Oleh itu, usaha ini memerlukan insentif, dasar yang sesuai serta pembangunan keseluruhan ekosistem. “Ini akan memakan masa, tetapi kerajaan telah mengambil perhatian terhadap cadangan yang dikemukakan dan berusaha untuk menambah baik pelaksanaannya,” kata Sim.


