Mitsubishi Xpander menjadi antara model yang meraih perhatian ramai ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 yang berlangsung awal bulan ini. Sebagai versi produksi bagi model XM Concept, ia menjadi penawaran terkini pasaran Indonesia bagi segmen MPV harga rendah – ia juga membuat penampilan sulung global di negara itu.

Ramai yang hadir di acara berkenaan yang pada awalnya sekadar hanya ingin melihat-lihat model terbabit berakhir dengan mendaftarkan nama mereka untuk tempahan. Dapurpacu melaporkan, Mitsubishi di sana menerima sejumlah 5,281 tempahan untuk MPV berkenaan sepanjang 11 hari ia berlangsung. Setakat 20 Ogos, jumlah tempahan keseluruhan yang diterima ialah 7,489.

“Perkembangan ini membuatkan kami terus ingin memperbaiki tahap perkhidmatan kepada pelanggan dalam usaha untuk memberikan lebih nilai dan pengalaman yang baik dari jenama ini,” ujar Presiden Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia, Kyoya Kondo.

Promosi oleh pengedar di Indonesia diteruskan ke sembilan kota utama di sana, melibatkan 79 acara diaturkan. Mitsubishi Xpander dikuasakan oleh enjin 1.5 liter yang menghasilkan 104 PS dan 141 Nm, ditawarkan dalam beberapa varian bermula pada harga Rp 189,050,000 (RM60,843) hingga Rp 245,350,000 (RM78,968).

Dipasang di Indonesia, model ini turut akan dieksport ke negara-negara ASEAN lain termasuk Malaysia pada tahun hadapan. Adakah anda akan memilih model ini berbanding Honda BR-V sebaik sahaja ia mula dipasarkan di sini? Kami ingin tahu pandangan anda.

GALERI: Mitsubishi Xpander Sport Automatik