Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

Semakin bertebaran sana sini spekulasi mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Proton yang dikatakan bakal melantik orang kuat Zhejiang Geely Holding (Geely) bagi menerajui tampuk kepimpinan syarikat pengeluar kereta nasional pertama Malaysia ini.

Walau bagaimana pun, menurut kenyataan media yang dihantar oleh DRB-Hicom sebentar tadi, bahawa pihaknya bersama Geely masih dalam proses memuktamadkan transaksi yang telah dimeterai pada bulan Jun tahun ini. Malah keputusan untuk mengumumkan CEO baharu bagi Proton akan dilakukan secepat mungkin.

Kenyataan itu turut menyebut, DRB-HICOM dan Geely Holding sedang meningkatkan usaha memperincikan pelan perniagaan baharu bagi Proton. Pelan perniagaan terperinci ini penting bagi menghasilkan “peta hala tuju” yang kukuh bagi Proton untuk tahun-tahun akan datang, dan antara perkara utama yang perlu dimuktamadkan dalam proses ini. Ia juga akan meliputi strategi bagi kedua-dua syarikat bekerjasama bagi membangunkan kenderaan baharu untuk pasaran global.

Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

DRB-HICOM dan Geely Holding masing-masing memegang 50.1% dan 49.9% kepentingan dalam Kumpulan Proton, yang dibahagikan kepada tiga entiti utama iaitu; PROTON Holdings Berhad (PHB), yang merupakan syarikat induk; Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), 100% anak syarikat PHB yang berfungsi sebagai syarikat pengeluar, operasi, pembuatan dan pemasaran yang utama; serta PROTON Edar Sdn Bhd, 100% anak syarikat PHB, sebagai pengedar utama Proton. Bagi ketiga-tiga syarikat tersebut, DRB-HICOM mempunyai satu kerusi tambahan di peringkat Lembaga Pengarah, menyamai pegangan 50.1% yang dimiliki DRB-HICOM.

Apabila transaksi dimuktamadkan kelak, satu pengumuman akan dibuat berkaitan komposisi lembaga pengarah syarikat-syarikat tersebut. Ketiga-tiga syarikat ini akan mempunyai wakil daripada DRB-HICOM dan Geely Holding.

Dalam masa yang sama, DRB-HICOM mengumumkan bahawa Dato’ Ahmad Fuaad Kenali akan melepaskan jawatan sebagai CEO PHB berkuatkuasa 30 September 2017. Beliau akan meneruskan perjuangannya di Malakoff Corp Bhd sebagai CEO mulai Oktober ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Fuaad telah memberikan sumbangan yang sangat bermakna sepanjang bersama Proton.

Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

Dato’ Ahmad Fuaad Kenali

“Beliau telah menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam tempoh yang singkat di PHB. Sepanjang kepimpinannya, Proton telah melancarkan empat model baharu dalam tempoh hanya lapan bulan. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pencarian rakan strategik yang sesuai untuk Proton. Salah satu keutamaan DRB-HICOM setelah mengambil alih PHB pada tahun 2012 adalah untuk mendapatkan rakan strategik asing untuk Proton”, tegas Syed Faisal.

Fuaad dilantik sebagai CEO PHB pada 1 April 2016, selepas mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Operasi/Pengarah Kanan Kumpulan DRB-HICOM pada tahun 2013.

“Semasa kepimpinannya, Proton mengalami peningkatan konsisten dalam operasi perniagaan. Kedua-dua Lembaga Pengarah DRB-HICOM dan PHB ingin merakamkan penghargaan tertinggi kami atas sumbangannya yang besar di DRB-HICOM dan di Proton; terakhir, kejayaan beliau mendapatkan Geely Holding sebagai rakan strategik untuk Kumpulan Proton. Fuaad bakal memegang peranan yang lebih besar dengan salah sebuah syarikat berkait dengan kumpulan, dan ahli-ahli Lembaga Pengarah mendoakan yang terbaik bagi kerjaya beliau di masa hadapan”, tambah Syed Faisal.

Manakala Syed Faisal pula disahkan akan meneruskan peranan utamanya sebagai Pengerusi keseluruhan PHB. Antara lain, Syed Faisal berperanan untuk memastikan kerjasama ini dapat mencapai matlamatnya dan akhirnya, memberikan pulangan pelaburan kepada pemegang-pemegang saham, iaitu DRB-HICOM dan Geely Holding.

Antara intipati Perjanjian Muktamad yang ditandatangani DRB-HICOM dan Geely Holding ialah untuk syarikat China tersebut bukan sahaja melabur didalam Kumpulan Proton, tetapi juga berkongsi kepakaran mereka dalam pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran, terutamanya di PONSB. Sejajar itu, apabila transaksi ini selesai, Geely Holding akan menamakan seorang calon yang sesuai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di PONSB.

“PONSB adalah sebahagian besar daripada operasi Kumpulan Proton, justeru, pemilihan individu yang tepat untuk tugasan ini amat kritikal. Satu pengumuman akan dibuat kelak,” jelas Syed Faisal.

Bagi memastikan proses integrasi yang lancar, DRB-HICOM juga mengumumkan bahawa Dato’ Mohd Radzaif Mohamed akan kekal sebagai salah seorang pegawai utama di Kumpulan Proton; beliau akan meneruskan peranannya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di PONSB. Sementara itu, Abdul Rashid Musa, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd pada Februari 2017, juga akan meneruskan peranannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di pusat pengedaran syarikat.

“Mengekalkan Radzaif dan Rashid di jawatan masing-masing akan memastikan kesinambungan didalam Kumpulan PROTON. Ia juga akan membantu kemasukkan CEO baru untuk PONSB dan ini akan memanfaatkan usahasama ini,” tambah Syed Faisal lagi.

DRB-HICOM dan Geely Holding menandatangani Perjanjian Dasar pada 24 Mei 2017 untuk membolehkan pembuat kereta China itu menjadi rakan strategik asing PROTON. Pada 23 Jun, kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Muktamad di Kuala Lumpur, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required