Lotus telah mendedahkan model konsep SUV mereka pada Geneva Motor Show 2006 yang digelar Lotus APX (Aluminium Performance Crossover) tetapi setelah 11 tahun berlalu ia masih belum dijelmakan dalam bentuk produksi. Namun setelah jenama berkenaan diambil alih oleh pengeluar automotif dari China, Geely, dari DRB-Hicom, impian mereka untuk meletakkan SUV tersebut dalam barisan model dilihat semakin hampir, menurut laporan Automotive News.

Ahli lembaga Geely merangkap pengerusi LEVC iaitu pengeluar London Taxi (yang turut dimiliki oleh Geely), Carl-Peter Forster berkata, Lotus mempunyai imej jenama yang tidak akan pudar dan ini akan memudahkan syarikat tersebut menjual model lain selain kereta sport menggunakan jenama tersebut.

“Ia mempunyai imej jenama yang tidak akan pudar”, jelas Forster dan menambah “Ia mungkin dalam jumlah yang kecil tetapi kami semua percaya ia lebih berpotensi dari jumlah 1,500 hingga 2,000 unit kenderaan yang terjual buat masa sekarang.”

Forster turut berkata Lotus boleh menghasilkan “kereta dalam jua saiz dan dalam apa jua jumlah” dengan mudah tanpa mengabaikan fokus mereka bagi terus menghasilkan kereta sport kompak, ringan dan lincah. Mengambil contoh jenama kereta sport dari Jerman – Porsche – yang memperkenalkan SUV Cayenne pada tahun 2002, jenama berkenaan menjana keuntungan yang tinggi selepas itu.

“Jika anda lihat pengeluar kereta sport yang agak popular dari selatan Jerman, mereka mampu berkembang dengan jayanya tanpa menjejaskan jenama berkenaan,” kata Forster.

Model terbaharu London Taxi yang menggunakan sistem hibrid plug-in keluaran LEVC kini turut menggunakan platform aluminium ringan, sama seperti apa yang dilakukan Lotus dalam menghasilkan kereta sport mereka. “Pasukan kami akan gembira untuk menghulurkan sokongan sekiranya Lotus memerlukannya,” kata Forster lagi.