TUNGGANG UJI: Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

TUNGGANG UJI: Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

Motosikal jenis skuter mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Selain terkenal sebagai motosikal yang mudah ditunggang, aspek praktikaliti juga sering kali menjadi kelebihan motosikal jenis ini.

Selain model-model bawah 150 cc, skuter juga ada datang dengan kapasiti enjin lebih besar, dengan badan yang juga lebih besar, dan ia semakin mendapat sambutan ramai di negara kita. Skuter seperti ini dipanggil sebagai Maxi Scooter dan antara yang popular di Malaysia adalah seperti daripada SYM, Kymco dan Modenas (juga menggunakan asas daripada Kymco).

Pengedar motosikal jenama Jepun paling besar di Malaysia, iaitu Hong Leong Yamaha Sdn Bhd tidak membawa skuter berkapasiti tinggi mereka secara rasmi (seperti TMax 530) ke dalam pasaran Malaysia, tetapi Kawasaki pula ada menawarkan model J300. Tidak gentar untuk memberi saingan, Honda memperkenalkan model NSS300, dengan versi terbaru dilancarkan Jun yang lalu.

Gaya yang diketengahkan model ini tidak keterlaluan, malah lebih kepada elegan dan mudah diterima ramai. Perkara ini menjadi lebih jelas apabila dilihat pada unit tunggang uji yang berwarna kelabu ini, tetapi bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih terang, Boon Siew Honda telah menambah pilihan warna biru Candy Caribbean Blue Sea bagi model tahun 2017 ini.

Harga NSS300 ditetapkan pada RM30,727 termasuk GST, sekaligus meletakkan ia di bawah Kawasaki J300 yang dijual pada harga RM31,498, manakala beberapa model lain pula adalah lebih murah seperti Kymco Downtown 250i pada RM22,790, Modenas Elegan 250 RM13,599 manakala SYM Symphony Evo sekitar RM20,000. Dijangka tidak lama lagi, SYM akan memperkenalkan sebuah model baru iaitu SYM Cruisym 300i, kerana ia sudah dipertonton semasa satu acara di Pulau Pinang, namun harganya masih belum diketahui.

Sudah jelas daripada yang anda boleh lihat, saiz NSS300 ini sememangnya besar, dan dalam kiraan tepat, dimensinya adalah 1,546 mm untuk jarak roda, 2,166 mm panjang, 753 mm lebar dan 1,189 mm tinggi. Ketinggian tempat duduk pula adalah 716 mm.

Jika ingin membandingkannya dengan model lain, sekadar mengambil kira jarak roda sahaja, NSS300 adalah 9 mm lebih pendek daripada Kawasaki J300 dan 1 mm lebih panjang daripada Modenas Elegan 250. Bermakna, ia tidaklah begitu banyak berbeza di antara semuanya.

Dengan saiz yang sebegitu, NSS300 dapat menawarkan keselesaan dan ruang simpanan yang besar bagi penggunanya. Bermula dengan di bawah tempat duduk, anda diberikan dengan ruang seluas 62 liter, dan menurut Honda, ia boleh memuatkan dua buah helmet muka penuh.

Sekali lihat, ruang ini memang luas, tetapi saya sendiri mengalami kesukaran untuk meletakkan helmet open face di dalamnya. Rupanya, setelah merujuk beberapa video, barulah saya ketahui helmet tersebut perlu diletakkan secara menyerong dan bukannya cantik menegak sahaja. Tapi dalam risalah jualan, gambarnya menunjukkan helmet diletakkan tegak secara biasa.

Selain di bawah tempat duduk, terdapat dua lagi ruang simpanan sedia ada iaitu di bawah bahagian pemegang. Di bahagian kiri, ruangnya lebih luas, sehingga apabila diseluk, hampir separuh lengan saya boleh masuk ke dalamnya. Pada bahagian ini juga terdapat soket 12V yang boleh digunakan untuk mengecas peranti elektronik seperti telefon atau unit GPS.

TUNGGANG UJI: Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

Sama seperti ruang di bawah tempat duduk, ruang di bawah pemegang, sebelah kiri ini juga tidak boleh dibuka apabila kunci dicabut. Untuk membukanya, anda harus memasukkan kunci, pusing ke penunjuk ‘opener’, dan menekan suis di sebelah tempat memasukkan kunci. Bermakna jika anda terlupa sesuatu di dalam ruang simpanan ini, ia masih mempunyai ciri keselamatan.

Satu lagi ruang simpanan, iaitu di bawah pemegang, sebelah kanan tidak sebegitu. Ia boleh dibuka dengan hanya menarik tuil di situ, tetapi ruang yang disediakan adalah lebih kecil. Saya sendiri tidak berani meletakkan barangan penting di dalam itu kerana takut ia terkeluar daripada kotaknya akibat motosikal bergoncang, dan jatuh di bahagian dalam panel badan, tetapi untuk memuatkan sepasang sarung tangan, ia tidak menjadi masalah.

Satu lagi aspek, yang menjadi kelebihan apabila mempunyai badan yang besar adalah tempat duduk yang luas dan selesa. Ia hampir seperti anda menaiki Goldwing, dan bagi saya yang sekadar mempunyai pinggang bersaiz 32 inci, ia mungkin sedikit terlebih. Binaan tempat duduk ini juga cukup empuk sehinggakan apabila meluncur atas lebuh raya, saya rasakan seperti menaiki sofa bergerak.

Bagi penumpang belakang juga, keadaannya sama, cuma mereka perlu membuka kangkang lebih luas kerana tempat duduknya lebar. Di antara penumpang dan penunggang, terdapat satu bonjolan yang bertindak sebagai penyokong belakang bagi penunggang, sekaligus meningkatkan lagi aspek keselesaan. Cuma apabila ada penumpang, terdapat sedikit jarak di antara mereka dan penunggang.

TUNGGANG UJI: Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

Berkenaan pengendalian di dalam trafik sesak, awalnya semasa baru mengambil motosikal ini di Kepong, saya merasa hampir pasti akan menjadi punca barisan panjang motosikal di celah kenderaan kerana saiznya yang besar dan perlu lebih berhati-hati supaya tidak melanggar cermin sisi kereta. Walaubagaimanapun, ia tidak sebegitu.

Pertamanya adalah kerana bahagian pemegang motosikal ini tidak terlalu lebar, dan anda hanya perlu memberi perhatian kepada badan motosikal itu sahaja. Jika dinaiki seorang, bahagian kaki tidak perlu dirisaukan kerana terselindung di sebalik panel badannya, tetapi apabila dinaiki dua orang, anda mungkin perlu beringat dengan kaki penumpang yang terkeluar.

Motosikal berenjin 279 cc jika digunakan di dalam bandar pastinya memiliki kuasa yang lebih daripada mencukupi. Disebabkan NSS300 ini dipadankan dengan transmisi automatik CVT, anda dapat menikmati kuasa sebanyak 25.5 hp dan 26 Nm tork yang hadir bermula daripada tahap 5,000 rpm secara lancar.

Kalau diikutkan nisbah kuasa dan berat, ada saja motosikal berkapasiti kecil lain yang boleh memecut lebih pantas berbanding NSS300, tetapi bagi sebuah motosikal yang mempunyai berat hampir 200 kg, ia tetap mengujakan. Apatah lagi, anda boleh melakukannya secara bersenang-lenang dengan hanya memulas pendikit.

Dengan jisim yang besar waktu memecut, momentum yang dihasilkan juga adalah lebih laju. Bagi menambah ciri keselamatan kepada penggunanya, NSS300 didatangkan dengan sistem brek canggih yang dinamakan sebagai Combined ABS. Dengan adanya sistem ini, apabila anda membrek menggunakan tuil sebelah kiri, iaitu untuk brek belakang, brek hadapan juga akan menggigit cakera.

Ini sekaligus memberikan kuasa henti yang lebih meyakinkan, dengan kedua-dua brek depan dan belakang adalah unit cakera. Hasil daripada sistem ini juga, penunggang dapat menikmati perjalanan dengan lebih santai, dengan memikirkan walaupun anda hanya menarik brek belakang, kuasa henti tambahan turut diberikan pada brek hadapan. Jika sudah melebihi tahap cengkaman, sistem ABS pula akan masuk supaya tayar tidak menggelungsur.

Walaupun skuter asalnya adalah sebuah motosikal untuk kegunaan bandar, apabila ia datang dalam kapasiti enjin yang besar seperti NSS300 ini, pengguna akan tertarik untuk membawanya ke perjalanan yang lebih jauh. Anda boleh lihat sendiri perkara sebegini berlaku di Malaysia, dengan kelab-kelab skuter sering berkonvoi dan ada yang sampai sehingga ke Thailand.

Saya sendiri ingin merasakan pengalaman itu, dan semasa mempunyai NSS300 ini, saya berpeluang ke Pulau Pinang, dari Kuala Lumpur bersama seorang rakan yang menaiki supermoto 690 cc. Seperti yang dijangka, NSS300 memang sangat selesa, bukan sahaja pada bahgaian tempat duduk, malah kedudukan menunggang juga selesa dengan pemegang yang mudah dicapai dan kaki boleh dilunjur. Sehinggakan pada satu ketika, saya rasa terlalu bosan kerana tiada cabaran. Apatah lagi di atas lebuh raya, tidak banyak benda yang boleh diperhati, berbeza jika melalui jalan kampung.

Jika dipulas habis atas lebuh raya, NSS300 boleh mencecah kelajuan sehingga 140 km/j, dan keadaan motosikal masih lagi stabil dan meyakinkan. Cuma disebabkan ia lebih menjurus ke arah keselesaan, suspensinya juga lembut. Apabila berhadapan dengan selekoh yang beralun, waktu itulah hati saya menjadi sedikit berdebar.

Dalam perjalanan ini juga ada satu perkara yang mengejutkan saya. Tanpa melihat kepada kapasiti tangkinya, saya menyangka bahan api pada NSS300 pastinya boleh bertahan untuk jarak yang lebih jauh berbanding supermoto yang dinaiki oleh kawan. Namun, perkara sebaliknya yang berlaku. Tidak sampai 200 km pun, tolok minyak sudah menunjukkan tahap satu bar, dan bagi mengelakkan daripada menolak di atas lebuh raya, terus saya berhenti di stesen minyak yang terdekat.

TUNGGANG UJI: Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

Semua informasi berkenaan operasi motosikal boleh dilihat dengan jelas pada panel meter serba lengkap yang bersaiz besar pada NSS300. Tahap seperti kelajuan, rpm, minyak dan suhu enjin dipaparkan secara analog, manakala jarak perjalanan, penggunaan bahan api dan jam dipaparkan secara digital pada bahagian tengah. Rekaan bahagian ini mungkin nampak biasa, tetapi ia mudah dilihat.

Dalam keadaan dipulas penuh atas lebuh raya pada kebanyakan masa, saya mencatat penggunaan bahan api sekitar 18 km/l, tetapi apabila di dalam bandar, ia boleh naik sehingga 25 km/l. Sekali lagi ingin dinyatakan, jika anda pandai mengawal pendikit dan tidak terlalu agresif, penggunaan bahan api apa kenderaan sekali pun boleh jadi lebih menjimatkan. Di dalam risalah, tangki minyak NSS300 dikatakan boleh menampung 11.6 liter bahan api.

Secara keseluruhannya, saya boleh mengatakan NSS300 ini berjaya menyediakan keperluan pengguna motosikal jenis ini. Segala yang diperlukan hampir lengkap, iaitu pada aspek keselesaan, kelengkapan serta kemudahan. Namun harus diberitahu, ini bukanlah sebuah skuter jenis sport yang boleh memuaskan kehendak adrenalin anda. Jika mahu sesuatu yang sebegitu, bolehlah melihat kepada Yamaha TMax 530 ataupun Aprilia SR Max 300.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Adam Nightwish on Oct 04, 2017 at 10:39 am

    Yamaha XMAX 300/250 ada rancangan dibawa masuk Malaysia tak?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required