SYM Cruisym 300i merupakan sebuah skuter maxi terkini yang diperkenalkan di Malaysia, dan mensasarkan untuk memberikan nilai serta pilihan tambahan kepada peminat skuter tempatan. Minggu lalu, model berkenaan dipertontonkan secara rasmi kepada umum ketika siri jelajah Gempaq Penang 2.0 yang berlangsung di Ekspo Seberang Jaya.

Walau pun harga jualannya masih belum diumumkan, ada beberapa perincian berkaitan skuter ini yang sudah kita ketahui. Ia dilengkapi dengan enjin 278.3 cc silinder tunggal SOHC dengan sejukan udara serta EFI yang menghasilkan 26.9 hp pada 7,750 rpm dan 27.3 Nm tork pada 6,750 rpm. Transmisi pula menggunakan CVT dengan centrifugal dry clutch.

Skuter Taiwan ini menggunakan sistem suspensi jenis teleskopik di depan, dan swingarm di belakang. Keupayaan membrek pula disediakan melalui sistem cakera dengan diameter 260 mm di depan dan 240 mm di belakang. Lampu LED juga digunakan untuk lampu isyarat dan lampu brek, manakala dari jenis halogen untuk lampu utama.

Skuter ini seberat 198 kg, dan mungkin ditawarkan dalam tiga pilihan warna; putih, merah dan kelabu. Memandangkan skuter ini masih menunggu kelulusan untuk dijual secara sah, harga jualannya masih belum dapat diumumkan, buat masa ini. Pesaing terdekatnya, Kawasaki J300 bagaimanapun dijual pada harga RM31,498.