sym_cruisym_06_bm

SYM Malaysia mengesahkan bahawa syarikat itu bakal melancarkan model skuter terbaharu, CRUiSYM 300i untuk pasaran tempatan tahun hadapan. Jentera dua roda berkenaan baharu saja dipertontonkan kepada umum ketika acara pameran Intermot 2016 di Cologne, Jerman Oktober lalu.

Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad menyatakan, model CRUiSYM ini akan dilancarkan pada suku kedua 2017 unntuk pasaran Malaysia. Setakat ini, ia dianggarkan akan dijual pada harga sekitar RM15,000 hinggar RM20,000, bergantung kepada nilai tukaran mata wang asing semasa.

SYM CRUiSYM 300i menampilkan pendekatan reka bentuk yang agresif serta sporty jika dibandingkan dengan barisan jentera SYM sebelum ini. Ditawarkan di dalam dua pilihan warna iaitu merah dan kelabu kesat (matte), ia turut dilengkapi dengan pelindung dengan corak gentian karbon.

Lampu depannya menerima rekaan unik ala fisheye dengan penggunaan lampu LED. Ini dilengkapkan lagi dengan penggunaan lampu belakang yang juga dari jenis LED, dengan bentuk rekaan heksagonal.

Model ini tidak hanya menampilkan gaya yang futuristik. Ia juga disifatkan mampu memberikan pengendalian tunggangan yang terbaik dan pengalaman tunggangan yang lebih selesa, serta prestasi keseluruhan yang lebih dinamik. Selain sepasang cermin sisi boleh dilipat, terdapat juga penghadang angin boleh dilaras dan tempat letak kaki yang selesa untuk perjalanan jarak jauh.

Skuter ini dilengkapi dengan ruang simpanan di bawah tempat duduk yang luas untuk memuatkan dua unit topi keledar, baju hujan serta barang-barang keperluan lain. Ia juga dilengkapi ciri-ciri unik seperti corong udara dikedua-dua sisi, ‘gloves box’, port USB serta pengecas 12V.