Minggu lalu, Volvo Car Malaysia (VCM) dengan secara rasminya memperkenalkan tambahan terbaru bagi model sedan untuk pasaran Malaysia, Volvo S90 T8 Twin Engine CKD plug-in hybrid. Ini merupakan tambahan kepada model sedan sama sedia ada iaitu S90 T5 dan T6 R-Design.
Dibuka untuk tempahan sejak dua bulan lalu, ia didatangkan dalam dua varian, Inscription dan Inscription Plus, dan dijual pada harga masing-masing RM368,888 dan RM388,888 (tidak termasuk insurans). Tanda harga ini adalah yang paling rendah bagi mana-mana model S90 sedan yang ada sebelum ini – ia RM20,000 lebih murah berbanding versi T5 manakala berbanding versi T6, harganya lebih jimat sebanyak RM85,000. Dan, bagi mereka yang membeli sebelum 31 Oktober 2017, potongan harga sebanyak RM20,000 akan turut diberikan.
Bagi penjana kuasanya, ia menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E empat-silinder, dengan dua kaedah desakan – supercharge dan turbocharge. Ia mampu menghasilkan sebanyak 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm dari 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. Kuasa disampaikan melalui sistem transmisi automatik lapan-kelajuan daripada Aisin.
Satu lagi sumber janaan kuasanya ialah motor elektrik yang terletak pada bahagian gandar belakang, yang menghasilkan sebanyak 87 hp/240 Nm untuk roda belakang. Bateri pula menggunakan jenis lithium-ion 10.4 kWh (lebih besar daripada yang digunakan pada XC90, 9.2 kWh). Walaupun dengan pendekatan ini, ruang but dengan kapasiti 500 liter tidak terganggu kerana bateri berkenaan ditempatkan dibahagian terowong tengah.
Di dalam video ringkas ini, kami tampilkan kelebihan dan kekurangan model terbabit. Bagaimana keadaan ruang kabinnya? Berapa jarak yang boleh dicapai dalam mod elektrik sepenuhnya? Dan berapa lama untuk mengecaj penuh bateri yang ada? Semuanya ada di dalam video ini. Selamat menonton.
Volvo S90 T8 Inscription
Volvo S90 T8 Inscription Plus
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.