Dua hari sebelum berlangsungnya Tokyo Motor Show 2017, Honda Malaysia telah membawa kami mengunjungi Motegi, Jepun, untuk taklimat mengenai teknologi bahan api alternatif yang merupakan sebahagian daripada pelan 2030 Vision yang dirangka awal tahun ini. Di mana Clarity Fuel Cell Vehicle (FCV), Clarity Plug-in Hybrid (PHEV) menjadi model contoh bagi pelan 2030 Vision ini. Ternyata Honda semakin serius untuk membangunkan kenderaan dengan teknologi bahan api alternatif ini pada masa akan datang.

Menurut Honda, sudah tiba masanya untuk mereka melangkah lebih ke hadapan dalam menghasilkan kenderaan sebegini memandangkan beberapa negara di dunia ini telah berikrar untuk melarang penggunaan kenderaan dengan bahan api konvensional terutamanya diesel di kawasan bandar besar khususnya.

Untuk makluman, Clarity FCV telah pun diperkenalkan kepada umum di Tokyo Motor Show 2015 dan pada Mac 2016, ia mula dijual di pasaran Jepun. Ia merupakan pengganti kepada FCX Clarity, kenderaan yang dijanakan oleh hidrogen yang diperkenalkan pada tahun 2007.

Di mana Clarity FCV merupakan kenderaan yang menggunakan bahan api sel sepenuhnya jenis sedan lima-penumpang pertama di dunia. Ia diproduksi di Production Supervisory Unit & Powertrain Production Supervisory Unit yang terletak di Takanezawa-machi, Tochigi.

Mengadaptasikan teknologi Honda sepenuhnya, komponen bagi sel bahan apinya telah dikurangkan sebanyak 33% berbanding dengan model sebelumnya. Namun ia mampu menghamburkan kuasa maksimum melebihi 100kW dan kuasa ketumpatan sebanyak 3.1 kW per liter. Di mana ia telah ditambah baik sehingga 60%.

Tangki hidrogen ketahanan tinggi bagi Clarity Fuel Cell ini ialah 70MPa. Manakala storan tenaga bagi FCV ini menggunakan bateri Lithium-ion. Clarity Fuel Cell hanya mengambil masa selama 3 minit untuk pengisian semula bahan api dan mampu pergi sejauh melebihi 700 km bagi satu tangki penuh.

Penjana kuasa sel bahan api ini juga diperbuat dengan lebih kompak, sama seperti enjin V6. Malah ia boleh disimpan di bawah hud model sedan ini dan ia seumpamanya yang pertama di dunia. Sekali gus membuktikan satu lagi pencapaian cemerlang oleh Honda Motor Co., Ltd.

Bentangan bagi penjana kuasa ini membolehkan Clarity Fuel Cell mampu membawa lima penumpang dewasa dalam satu masa. Sebagai tambahan, dengan gabungan penjana kuasa luaran mudah alih iaitu Power Exporter 9000, Clarity Fuel Cell boleh dianggap sebagai “loji kuasa pada roda” bagi menghasilkan dan menyalurkan kuasa elektrik apabila diperlukan termasuklah dalam keadaan kecemasan seperti bencana alam dan sebagainya.

Di Jepun, Clarity Fuel Cell dijual pada harga 7.66 juta Yen (RM276, 343) dan untuk tahun pertama ini ia diproduksikan dengan skala yang kecil sahaja iaitu sebanyak 200 unit. Ini kerana Honda mahu menantikan respon daripada pelanggan berkenaan kenderaan ini dan jika ia mendapat sambutan, bilangan model yang akan diproduksi bakal ditambah.

Kemudian pada April tahun ini pula, Honda telah memperkenalkan pula Clarity bagi versi plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik (EV). Ia turut mensasarkan pasaran Amerika Syarikat, selain negara kelahirannya, Jepun.

Bagi Clarity versi elektrik, ia dijana oleh elektrik motor 161 hp/300 Nm yang mendapatkan kuasanya daripada bateri pek 25.5 kWh. Ia boleh dicas sepenuhnya dalam masa tiga jam menggunakan outlet 240 volt, dan sekiranya menggunakan kit pengecas segera dengan SAE Combined Charging System, ia boleh mencapai kadar cas 80% dalam hanya 30 minit. Tiga mod pemanduan disediakan – Normal, Econ dan Sport.

Manakala untuk Clarity PHEV pula, ia dilengkapi dengan sistem hibrid i-MMD dua-motor serta enjin 1.5 liter kitaran Atkinson untuk menjana kuasa elektriknya.Ia mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 181 hp dan tork 315 Nm. Model ini untuk hadir bersama kombinasi enjin dan pek bateri 17 kWh dengan tempoh cas semula 2.5 jam menggunakan outlet 240 volts.

Dengan operasi hanya-elektrik, Clarity PHEV ini mampu dipacu sejauh 68 km dan secara keseluruhannya berkeupayaan mencapai jarak sehingga 531 km. Selain tiga mod pemanduan yang sama di atas, versi ini turut dilengkapi mod HV untuk mengekalkan bateri agar sentiasa dicas dan boleh dipilih dalam tiga mod yang lain itu.

Selepas taklimat tersebut, kami menuju ke Twin Ring Motegi yang terletak di Tochigi Prefecture, Jepun, untuk memandu uji Clarity FCV dan PHEV. Walau pun bukan memandu di dalam litar, sekadar di kawasan Active Safety Park 2 dengan pemanduan tidak sampai 10 minit (hanya dua pusingan sahaja) bagi setiap satu model tersebut serta hanya kelajuan maksimum 60 km/j yang dibenarkan, sekurang-kurangnya memberikan sedikit pengalaman kepada kami untuk mengujinya. Apa pun mohon maaflah awal-awal sekiranya ulasan pandu uji ini terlalu ‘kontot’ dan mungkin tidak memberikan kepuasan untuk anda membacanya. Seperti mana penulis dan Anthony Lim dari Paultan.org (English) yang berasa kurang puas dapat merasai pengalaman mengendalikan dua model ini.

Sesi pandu uji dimulakan dengan Clarity FCV, dari pegun hingga ke kelajuan yang dibenarkan (ketika pandu uji tersebut), kuasa pendikitan model ini memang cukup lancar tanpa teragak-agak memuntahkan kuasa yang diperlukan. Ia memang menyerlahkan dinamiknya dengan janaan enjin sel bahan api sepenuhnya ini. Terasa kaki bagai mahu memberikan lebih tekanan pada pedal pendikit, namun bila terpandang jurutera Honda yang duduk di sebelah, kelajuan segera diperlahankan. Malah kawalan sterengnya juga berkarakteristik, termasuk di selekoh.

Manakala bagi Clarity PHEV pula, ia juga tidak kurang hebatnya walau pun tidaklah begitu cukup dinamik seperti mana FCV. Walau bagaimana pun, semakin kelajuan dipertingkatkan, sistem i-MMD kian terasa operasinya, apatah lagi ia cukup responsif dengan adanya mod HV. Dan keseronokannya pasti lebih terasa jika melibatkan pemanduan jarak jauh kerana sifatnya yang sesuai untuk pemanduan tersebut.

Walau bagaimana pun, enjin FCV lebih senyap berbanding PHEV, malah bagai tidak kedengaran langsung, melainkan bunyi dari faktor lain termasuk tayar dan angin. Selain itu, kabin PHEV lebih luas berbanding FCV.

Malah dalam sesi yang sama, Honda turut memperkenalkan Clarity FCV Racing Special kepada pihak media, walau pun tidak dapat memandu ujinya, namun kami diberikan peluang menaikinya dengan dipandu oleh jurutera Honda merangkap pemandu jentera lumba tersebut. FCV Racing Special ini menggunakan enjin yang sama seperti model asalnya, namun dengan memiliki berat yang lebih kurang iaitu sebanyak 300 kg. Banyak elemen yang ditiadakan bagi jentera lumba ini, berbanding model asal, ini termasuklam panel kekemasan dan door cards, tapi mujur masih ada tempat duduk belakang. Ia juga menampilkan suspensi sport dan getah yang lebih mencengkam, selain tangki hidrogen yang sedikit besar.

Kami sempat bertanyakan pada Akkbar Daniel, Naib Presiden Honda Malaysia, adakah kemungkinan Clarity FCV dan PHEV ini bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia, ini jawapannya, “Teknologi ini khususnya PHEV ada kebarangkalian dibawa ke pasaran Malaysia pada masa hadapan tetapi tidak semestinya ia adalah bagi model Clarity. Mungkin teknologi yang sama digunakan untuk model Honda lain. Tetapi bukanlah masa terdekat ini. Walau bagaimana pun, bagi teknologi FCV, agak sukar untuk diperkatakan memandangkan negara kita masih tiada fasiliti untuk kenderaan jenis ini.”

Kami berpendapat, memang perkara ini tidak mustahil iaitu kemasukan model PHEV oleh Honda ke pasaran tempatan pada masa hadapan ada potensi untuk menjadi realiti. Memandangkan model-model hibrid yang diperkenalkan oleh Honda, termasuk Jazz dan City, semakin mendapat tempat di negara ini. Ia terdorong dengan kesedaran rakyat Malaysia yang semakin terbuka bagi kenderaan bahan api alternatif ini, maka tidak mustahil model PHEV pula bakal mendapat tempat tersendiri di Malaysia. Malah Malaysia turut menjadi negara pertama selain Jepun yang menerima kehadiran Jazz hibrid, ini memberikan gambaran tahap keyakinan dan kepercayaan Honda Corporation terhadap Honda Malaysia yang mampu menjual model sebegini di negara ini.

Bukan itu sahaja, buat setakat ini, di Malaysia, hanya Honda sebagai jenama mass market yang dilihat begitu serius dalam memperkenalkan barisan model hibrid. Toyota pernah memperkenalkan model Prius hybrid, tetapi pasarannya ditamatkan. Begitu juga dengan Mitsubishi Malaysia yang ada ura-ura hendak membawa masuk model Outlander PHEV pada tahun 2016, tetapi disebabkan faktor harganya, niat tersebut terbantut sehingga sekarang.

Walau bagaimana pun, bilakah Honda akan membawa masuk model PHEV dan model manakah yang bakal dipadankan dengan teknologi ini, sama-sama kita nantikan.

GALERI: Honda Clarity FCV

GALERI: Honda Clarity PHEV

GALERI: Honda Clarity FCV Racing Special