Honda Clarity seperti yang dikenali sebelum ini hadir dengan teknologi fuel-cell. Namun, nama itu kini menjangkau lebih jauh lagi sebagai sebuah kereta berteknologi hijau – baru didedahkan ialah versi plug-in hybrid dan elektrik model berkenaan.

Dengan pertambahan dua versi baru Honda Clarity ini – model fuel cell dilancarkan hujung tahun lalu – ia dijangka akan melonjakkan lagi jualan Honda di Amerika Syarikat sebanyak lima kali ganda bagi kenderaan elektrik dalam tempoh empat tahun akan datang. Sasarannya ialah 75,000 unit.

“Honda Clarity disasarkan untuk mempercepat penggunaan sistem janaan kenderaan dengan teknologi elektrik serta mengunjurkan jenis kenderaan ini ke arus perdana. Siri Clarity turut mencerminkan kemajuan Honda Electrification Initiative, mewakili pelaburan kami dalam spektrum yang lebih luas terhadap teknologi kenderaan elektrik,” jelas Timbalan Presiden Kanan, American Honda Motor Co., Jeff Conrad.

Setiap varian Honda Clarity memiliki unsur rekaan tersendiri, termasuk warna utama masing-masing, serta kelainan dari penggayaan, lampu utama, lampu belakang dan rim 18 inci yang digunakan. Honda menjanjikan kedudukan yang selesa bagi semua lima penumpang dewasa.

Ia hadir dalam sentuhan yang rata-ratanya premium; dengan pengalaman pemanduan yang senyap, lancar dan penuh ketelitian. Kelengkapan seperti Android Auto, Apple CarPlay dan teknologi keselamatan Honda Sensing ditawarkan sebagai ciri standard.

Honda Clarity Electric 2017 dijana oleh elektrik motor 161 hp/300 Nm yang mendapatkan kuasanya daripada bateri pek 25.5 kWh. Ia boleh dicas sepenuhnya dalam masa tiga jam menggunakan outlet 240 volt, dan sekiranya menggunakan kit pengecas segera dengan SAE Combined Charging System, ia boleh mencapai kadar cas 80% dalam hanya 30 minit. Tiga mod pemanduan disediakan – Normal, Econ dan Sport.

Bagi Honda Clarity Plug-In Hybrid 2018, yang turut akan mula tiba ke pengedar di Amerika Syarikat dalam tahun ini, dijangkakan mampu memberi jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sejauh 68 km; menurut Honda, ini yang terbaik pernah dicapai bagi kelas kenderaan PHEV saiz sederhana.

Ia menggunakan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson untuk menjana kuasa elektriknya, dan mampu memberikan jarak keseluruhan sejauh 531 km. Kuasa keseluruhan yang ada ialah 181 hp/315 Nm tork, datang dari kombinasi enjin dan pek bateri 17 kWh dengan tempoh cas semula 2.5 jam menggunakan outlet 240 volts. Selain tiga mod pemanduan yang sama di atas, versi ini turut dilengkapi mod HV untuk mengekalkan bateri agar sentiasa dicas dan boleh dipilih bersekali dalam tiga mod yang lain itu.

Honda Clarity Fuel Cell adalah kenderaan sifar pencemaran dan menerima pengiktirafan Environmental Protection Agency (EPA) yang mampu mencapai jarak perjalanan 589 km – pencapaian terbaik bagi kenderaan yang tidak menggunakan enjin pembakaran dalaman di US.

Honda Clarity Electric 2017

Honda Clarity Plug-In Hybrid 2018

Honda Clarity Fuel Cell