Hujung minggu perlumbaan MotoGP di Malaysia hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan dengan kebanyakan pelumba sudah tiba di sini, kami berpeluang menyertai satu acara ringkas yang dianjurkan oleh Red Bull bersama pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi.

Dalam masa yang singkat itu, sempat juga kami bertanyakan beberapa soalan kepada Khairul, namun kebanyakan jawapan yang diberi adalah ringkas.

Bagi yang mahu mengetahui, kenapa pemuda berusia 19 tahun ini kurang menyerlah pada musim ini, Khairul memberitahu beliau sedang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera di setiap litar dan memerlukan lebih masa. Lagipun, ini adalah musim pertama beliau di dalam kategori Moto2.

Ada juga komen-komen orang yang mengatakan beliau masuk ke Moto2 terlalu awal, dan ini adalah jawapan Khairul, “saya rasa dakwaan itu ada benarnya. Tetapi sekurang-kurangnya dengan masuk lebih awal, saya juga dapat bersedia lebih awal untuk musim hadapan.”

Selain daripada itu, Khairul juga menyatakan bahawa tahun ini adalah tahun untuk beliau belajar, di mana beliau sendiri sedar masih kurang pengalaman kerana sebelum ini hanya berlumba dua tahun sahaja di dalam Moto3.

Walaupun kini berada dalam keadaan yang sukar, Khairul memberitahu rakan sepasukan, keluarga, rakan-rakan lain serta penyokong beliau sentiasa memberi semangat. Disebabkan itu, dalam setiap perlumbaan, beliau sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

Untuk baki dua pusingan sahaja lagi musim ini, Khairul tidak memberikan harapan yang tinggi, dan sekiranya dapat memungut mata sahaja, sudah cukup baik bagi beliau. Untuk perlumbaan di Malaysia, Khairul juga cuba untuk tidak memberi tekanan kepada diri sendiri kerana sedar itu adalah tidak elok.

Pada masa ini, Khairul berada di tangga ke-25 daripada 44 pelumba yang ada dalam kategori Moto2 dengan kutipan 10 mata.