Selepas risalah jualannya bocor, kini UMW Toyota mengesahkan akan melancarkan Toyota Harrier secara rasmi di Malaysia pada tahun 2018. Model yang akan dibawa ini adalah model facelift terkini, yang dilancarkan di Jepun Jun lalu, dan Malaysia adalah negara kedua luar Jepun, selepas Singapura yang menerima model ini melalui wakil pengedar rasmi. Harrier yang banyak ditemui atas jalan sebelum ini adalah unit yang diimport oleh syarikat persendirian.
Apabila mendapatkan Harrier facelift ini melalui UMW Toyota, pemilik dapat menikmati jaminan selama lima tahun, tanpa had batuan, dan ia akan ditawarkan dalam dua versi yang menggunakan padanan enjin 2.0 liter turbo D-4ST VVT-iW 231 PS/ 350 Nm dan transmisi automatik enam kelajuan, iaitu Harrier 2.0T Luxury dan Harrier 2.0T Premium. Model ini hanya akan dilancarkan pada tahun hadapan, namun tempahannya sudah dibuka dengan harga bermula RM238,000 (tidak termasuk insurans).
Selain daripada itu, UMW Toyota turut menyatakan bahawa Harrier facelift yang dibawa untuk pasaran Malaysia ini akan dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense, yang bermaksud, ia akan mempunyai fungsi lampu tinggi automatik, Sistem Pra-Pelanggaran serta cruise control adaptif. Harrier ini juga dilengkapi dengan tujuh-beg udara dan Sistem Kawalan Stabiliti (VSC). Selain itu, model pasaran Malaysia juga akan mempunyai tayar ganti jimat ruang (tiada untuk model Singapura).
Melihat kepada Harrier facelift yang dipasarkan di Jepun, ia mempunyai lampu LED dengan projektor berkembar, gril bahagian atas yang direka semula, lampu kabus LED baharu serta lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada posisi mendatar. Kereta ini turut diberikan rim dengan corak turbin baharu berdiameter 18-inci, serta bahagian bawah bampar belakang yang direka semula dan turut menempatkan tip ekzos krom.
Pada bahagian kabin, Harrier facelift diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa dengan fungsi memori (menggelungsur sendiri secara automatik bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk), upholsteri gabungan Ultrasuede dan kulit palsu serta kemasan carbon-weave metal. Kesemua varian juga menerima sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar sisi boleh ubah, pengesan jarak hadapan dan belakang serta kamera undur.
Teruskan bersama paultan.org/BM untuk melihat galeri penuh Toyota Harrier terbaru yang dipertontonkan oleh UMW Toyota Motor sebentar lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Yes. Finally, 1st petrol turbo in Malaysia by UMW Toyota