Brosur Toyota Harrier dari UMW Toyota bocor – model facelift, 2.0 liter turbo, lengkap dengan waranti kilang

Brosur Toyota Harrier dari UMW Toyota bocor – model facelift, 2.0 liter turbo, lengkap dengan waranti kilang

SUV Toyota Harrier jelas mempunyai peminat yang ramai di Malaysia berdasarkan jumlahnya di atas jalan raya yang boleh dikatakan agak mudah untuk dijumpai. Namun, kesemua model generasi terbaharu hanya dibawa pengimport persendirian ke pasaran tempatan. Berita baik untuk mereka yang berminat untuk mendapatkan Harrier yang 100% baharu dan lengkap waranti pengeluar, SUV berkenaan bakal dijual sendiri oleh UMW Toyota Motors tidak lama lagi, berdasarkan brosur yang telah pun tersebar di internet.

Selain dari Singapura, Malaysia adalah pasaran kedua luar Jepun yang menerima Harrier secara rasmi dari pengedar bertauliah Toyota. Manakala menerusi brosur yang terdedah, Malaysia nampaknya akan menerima model facelift (dengan gril bawah yang lebih lebar, sedikit perbezaan pada lampu belakang). Anda tidak akan jumpa model seumpamanya di sini kerana belum ada lagi pengimport persendirian yang membawanya ke pasaran tempatan, namun UMW bakal membuat prebiu SUV tersebut di Malaysia Autoshow pada 9 hingga 12 November yang berlangsung di MAEPS Serdang

Diperkenalkan pada Jun tahun ini, Harrier facelift dijana enjin baharu 8AR-FTS 2.0 liter turbo empat silinder – enjin sama yang boleh ditemui di dalam perut SUV mewah Lexus NX – menghasilkan 231 PS bermula 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,650 hingga 4,000 rpm.

Ia dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan automatik, dan menurut Toyota gabungan tersebut membolehkan Harrier mencapai penggunaan bahan api 13 km seliter untuk versi pacuan roda hadapan dan 12.8 km seliter untuk model AWD pada kitaran JC08 Jepun. SUV ini turut diberikan penyerap hentak ‘berprestasi tinggi’ pada sistem suspensi bagi mengurangkan olengan badan serta memperbaiki stabiliti ketika kelajuan tinggi.

Ciri-ciri lain yang turut dipadankan pada Harrier facelift ini termasuk lampu LED dengan projektor berkembar, gril bahagian atas yang direka semula, lampu kabus LED baharu serta lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada posisi mendatar. Kereta ini turut diberikan rim dengan corak turbin baharu berdiameter 18-inci, serta bahagian bawah bampar belakang yang direka semula dan turut menempatkan tip ekzos krom pada bahagian tersebut.

Pada bahagian kabin, Harrier facelift diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa dengan fungsi memori (menggelangsar sendiri secara automatik bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk), upholsteri gabungan Ultrasuede dan kulit palsu serta kemasan carbon-weave metal.

Model spesifikasi lebih tinggi pula diberikan upholsteri kulit Nappa bersama kemasan brushed aluminium dan juga sistem audio JBL GreenEdge dengan 11-pembesar suara. Harrier turut dipadankan dengan lampu puddle yang memancarkan logo tradisi ‘Helang’ SUV tersebut, bersama sistem pintu tailgate berkuasa dengan ketinggian yang boleh diubah.

Pada pasaran Singapuran, Harrier ditawarkan dengan tiga varian iaitu Elegence M, Premium G dan Turbo Luxury G, berbanding pasaran Jepun yang ditawarkan dengan varian Elegance, Premium dan Progress. Kesemua varian menerima sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon bersama liang udara belakang, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar sisi boleh ubah, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

Model Premium G pula ditambah dengan bumbung panaromik, pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau automatik, pembersih udara Nanoe serta pintu tailgate belakang berkuasa seperti yang dinyatakan tadi. Manakala untuk model tertinggi Turbo Luxury G pula, ia diberikan upholsteri kulit Nappa, tempat duduk berliang larasan berkuasa dengan fungsi memori.

Brosur Toyota Harrier dari UMW Toyota bocor – model facelift, 2.0 liter turbo, lengkap dengan waranti kilang

Untuk keselamatan pula, kesemua varian menerima tujuh-beg udara, Sistem Kawalan Stabiliti (VSC) dan juga pakej keselamatan baharu Toyota Safety Sense P dalam sistem bantuan pemanduan yang turut memberikan fungsi lampu tinggi automatik, Sistem Pra-Pelanggaran serta cruise control adaptif.

Buat masa ini, spesifikasi Harrier pasaran Malaysia masih lagi belum jelas – jika UMW menawarkan spesifikasi yang menghampiri apa yang diterima oleh pengguna di seberang tambak, ia pastinya menggembirakan pelanggan Toyota tempatan. Apa yang pasti dan ditunggu-tunggu oleh peminat Harrier di sini tentunya waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dan juga sistem audio serta fungsi lain yang boleh berfungsi sepenuhnya untuk kegunaan di Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required