Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

Walaupun tidak dijual secara rasmi di Malaysia, Toyota Harrier tetap popular di kalangan pengguna, dan kini, model terkininya diberikan facelift dan sudah mula dijual di Jepun. Harrier generasi terkini ini masih kelihatan bergaya, jadi Toyota hanya memberikan sedikit perubahan sahaja.

‘Mukanya’, yang mengekalkan tanda unik gril tertutup, kini lebih agresif. Gril yang terletak di bahagian bawah pula kini lebih lebar, dan terdapat lampu kabus LED di bucu luarnya. Sebelum ini, ia terletak di penjuru bampar, dan kini tempat asalnya digantikan dengan lampu siang LED. Lampu utama jenis LED kenderaan ini juga nampak lebih tajam. Bahagian lip hadapan pula diwarnakan hitam.

Pada bahagian belakang pula, lampu LED dengan cermin lutsinar sebelum ini ditambah dengan garisan light guide merah apabila lampu dinyalakan, dan garisan merah kecil menyambungkan pula dua lampu ini dengan lambang Toyota di tengah. Harrier ini juga mendapat rekaan rim baru, dengan varian yang lebih tinggi mendapat rekaan seperti turbin.

Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

Satu berita utama berkenaan enjin Harrier adalah ia kemasukan pilihan unit 2.0 liter turbo 8AR-FTS, yang sebelum ini digunakan pertama kali pada Lexus NX pada tahun 2014, dan kini menguasakan kebanyakan model Lexus. Enjin dengan teknologi VVT-iW twin-scroll turbo ini berkemampuan 231 PS dan 350 Nm tork antara 1,650 hingga 4,000 rpm.

Ia kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, bersama mod manual, dan bagi versi 2WD, ia dikata boleh mencatat penggunaan bahan api 13 km/l manakala versi 4WD pula 12.8 km/l. Varian enjin turbo ini mendapat penyerap prestasi di depan dan belakang untuk meningkatkan ketegaran dan mengurangkan olengan.

Dua lagi enjin yang disediakan untuk Harrier adalah unit 2.0 liter NA 3ZR-FAE Valvematic Dual VVT-i dengan 151 PS/ 193 Nm tork yang dipadankan dengan kotak gear automatik CVT (2WD 15.2 km/l, 4WD 16.0 km/l), dan hibrid yang menggabungkan enjin 2.5 liter berkuasa 152 PS/ 206 Nm dengan dua motor elektrik (143 PS/ 270 Nm di hadapan, 68 PS/ 139 Nm di belakang), dengan penggunaan bahan api 21.4 km/l.

Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

Antara kelengkapan yang disediakan pada kenderaan ini adalah pintu but yang mempunyai memori, sistem kemasukan dengan lampu, lampu puddle dengan logo Harrier, tempat duduk berserta liang dan pemanas, kamera 360 darjah, lampu penunjuk arah LED sequential, dan sistem keselamatan Toyota Safety Sense P.

Menjadikan lebih menarik adalah Harrier turut ditawarkan dengan beberapa pakej penggayaan termasuk tiga daripada Toyota sendiri, dua daripada Modellista dan dua lagi daripada TRD.

Sama seperti Malaysia, Harrier juga sebelum ini banyak dijual di Singapura oleh pengimport persendirian. Tetapi bagi model facelift baru ini, pengedar rasmi kenderaan Toyota di sana iaitu Borneo Motors menyatakan bahawa mereka akan melancarkan Harrier ini bulan hadapan. Yang pastinya, unit yang ditawarkan oleh Borneo Motors ini mempunyai radio, serta semua fungsi lain dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Jepun.

Memandangkan unit seperti ini sudah tiba begitu hampir, UMW Toyota (UMWT) selaku pengedar kenderaan Toyota di Malaysia juga mungkin patut melihat kepada penawarannya di Malaysia. Seperti yang diketahui, sebelum ini kebanyakan kereta JDM hanya dijual oleh pengimport persendirian.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required