Perodua hanya mendedahkan sedikit bahagian hadapan, sisi. dan belakang ketika Myvi 2018 mula membuat penampilan sulungnya semalam. Namun jurugambar power kami, Patrick Seow berjaya mengintai bahagian dalaman hatchback generasi ketiga berkenaan dan mendapatkan gambaran bagaimana rupa papan pemukanya.
Jelas, papan pemuka model genarasi baharu ini direka jauh berbeza dari model sebelumnya. Jika Myvi sedia ada menampilkan konsol tengah yang seolah-olah timbul kehadapan, papan pemuka baharu ini lebih moden menampilkan permukaan lebih rata, menempatkan skrin infotaimen, dan panel tersebut bersepadu dengan liang penghawa dingin tengah – seakan rekaan pada Honda Jazz.
Apa yang membuatkan papan pemuka ini kelihatan lebih premium adalah penampilan kemasan piano black pada panel tengah dan bahagian sisi pemandu, manakala sekelilingnya turut diberikan kemasan jalur berwarna perak.
Turut kelihatan adalah butang penghidup enjin yang terletak di bawah konsol utama, manakala stereng tiga jejari dengan rekaan baharu turut menempatkan suis kawalan audio pada bahagian kiri dan telefon pada bahagian kanan, serta dibalut dengan kulit.
Menerusi imej teaser yang disiarkan tempoh hari juga dapat dilihat tombol gear Myvi tidak lagi diletakkan pada papan pemuka, sebaliknya ia kelihatan lebih normal dengan tuil gear yang terletak pada terowong tengah.
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh; “Myvi serba baru ini menjadi model Perodua pertama yang mana rekaan luarannya (upper body) dilakukan oleh Perodua sendiri tanpa input dari orang luar.” Jadi jelas, bahagian atas model baharu ini bukanlah model saduran dari Daihatsu Boon atau Toyota Passo seperti model sebelum ini dan rekaan pada papan pemukanya juga langsung tidak diberikan DNA dari kedua-dua model JDM tersebut.
Perodua Myvi dilihat bakal membawa persaingan hatchback segmen-B keperingkat lebih tinggi kerana ia akan turut menawarkan pakej bantuan pemanduan keselamatan ASA yang terdiri daripada empat sistem berbeza – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC).
Perodua Myvi 1.3 Standard G
RM44,300 (MT)
RM46,300 (AT)
Hadir standard dengan:
Enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE)
1,329 cc, empat-silinder petrol
94 hp pada 6,000 rpm, 121 Nm pada 4,000 rpm (angka anggaran yang diambil dari Bezza 1.3)
Manual lima kelajuan atau Automatik empat-kelajuan E-AT
Lampu hadapan LED dengan fungsi auto off dan follow-me-home
Pelaras lampu hadapan
Lampu belakang LED dengan lampu panduan
Penderia undur
Rim aloi 14-inci
Sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin
Konfigurasi tempat duduk fleksibel 8+1
Tempat duduk belakang boleh lipat 60:40
Poket sisi (untuk telefon bimbit) pada tempat duduk hadapan
Empat beg udara (dua hadapan dan hadapan sisi)
ABS dan EBD
Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC)
Kawalan Traction (TRC)
Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
Waranti lima-tahun/150,000 km
Disasarkan untuk mendapat lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP
Perodua Myvi 1.3 Premium X
RM48,300 (AT)
Ditambah dengan:
Sistem start-stop enjin automatik Eco-idle
Kemasan luaran dan dalaman tambahan (belum didedahkan)
Pilihan warna untuk Myvi 1.3:
Ivory White (solid)
Glittering Silver (metalik)
Mystical Purple (metalik)
Lava Red (metalik)
Peppermint Green (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.3
Perodua Myvi 1.5 High
RM51,800 (AT)
Ditambah dengan:
Enjin 1.5 liter Dual VVT-i (2NR-VE)
1,496 cc, empat-silinder petrol
106 hp pada 6,000 rpm, 140 Nm pada 4,200 rpm (angka anggaran yang diambil dari Vios 1.5)
Empat-kelajuan E-AT
Ekonomi penggunaan bahan api gabungan 20.1 km seliter
Rim aloi 15-inci dua-tona
Kit badan hadapan dan skirt sisi (dua tona)
Bampar belakang dua-tona
Spoiler belakang
Pembaca tol bina-dalam (bersepadu dengan SmartTag)
Enam beg udara (dua hadapan, sisi hadapan, tirai)
Perodua Myvi 1.5 Advance
RM55,300 (AT)
Ditambah dengan:
Advanced Safety Assist (ASA)
Amaran Pra-pelanggaran
Brek automatik Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah)
Amaran Pergerakan Kehadapan
Kawalan Salah-operasi Pedal
Pilihan warna untuk Myvi 1.5:
Ivory White (solid)
Glittering Silver (metalik)
Mystical Purple (metalik)
Lava Red (metalik)
Granite Grey (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.5
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Teruskan usaha Perodua..