GALERI: Perodua Myvi 2018 – 1.5 Advance vs. 1.3 Premium X; model yang mana beri lebih banyak nilai?

GALERI: Perodua Myvi 2018 – 1.5 Advance vs. 1.3 Premium X; model yang mana beri lebih banyak nilai?

Perodua Myvi 2018 baru saja dilancarkan minggu lalu. Dan rasanya ramai orang yang sudah mengetahui banyak perkara tentangnya. Kami juga telah membuat liputan yang meluas tentang model berkenaaan; dari perincian lanjut berkaitan spesifikasi setiap varian, sehinggalah kepada sejarah 12 tahun Myvi setakat ini, yang mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2005.

Masih belum cukup dengan Myvi baru ini? Jangan risau, hujung minggu lalu juga kami telah sempat membawa keluar dua varian model baru ini, Myvi 1.5 Advance (RM55,300) dan 1.3 Premium X (RM48,300) untuk melihat dengan lebih dekat dan terperinci perbezaan terhadap penawaran antara kedua-duanya.

Sekali pandang pun sebenarnya kita sudah dapat lihat perbezaan luaran. Kedua-dua unit ini adalah di dalam warna baru yang unik untuk varian masing-masing; Granite Grey untuk model 1.5L manakala Peppermint Green untuk model 1.3L.

GALERI: Perodua Myvi 2018 – 1.5 Advance vs. 1.3 Premium X; model yang mana beri lebih banyak nilai?

1.5 Advance sebagai penawaran spesifikasi tertinggi juga tampil lebih sporty, lengkap dengan kit keliling badan dengan rim 15 inci dwi-tona yang membuatkannya nampak lebih bergaya. Sementara 1.3 Premium X pula lebih ringkas tanpa kit badan, dengan rim 14-inci.

Tetapi, diantara kedua-duanya, yang mana lebih berbaloi? Adakah model 1.3L sudah memadai dan mampu memenuhi keperluan untuk kegunaan harian anda? Atau, memang anda perlukan kelebihan kuasa dan prestasi yang ada model 1.5L untuk pengalaman pamanduan yang lebih baik?

Untuk makluman, perbezaan output enjin bagi kedua-dua model ini ialah 8 hp bagi kuasa keseluruhan dan 15 Nm bagi nilai tork – ini menjadi kelebihan kepada model 1.5L. Bagaimanapun, adakah angka-angka ini memberikan kelainan yang ketara bagi Myvi baru ini?


Papan pemuka 1.3 Premium X (kiri) dan 1.5 Advance.

Myvi 1.3L kini dilengkapi enjin 1NR-VE yang menghasilkan kuasa sebanyak 94 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm – enjin yang sama seperti pada sedan Perodua Bezza serta MPV tujuh-tempat duduk Toyota Avanza.

Manakala untuk versi 1.5L pula, ia menggunakan enjin 2NR-VE dengan janaan kuasa 102 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm.

Selain itu, hanya 1.5 Advance akan dilengkapi dengan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA); sebuah ciri maju yang bertujuan untuk menghindarkan anda daripada terlibat dalam perlanggaran dalam kelajuan rendah.

Ia terdiri daripada ciri Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC).

1.5 Advance juga dilengkapi dengan kamera undur, dengan paparan pada skrin utama pada bahagian tengah papan pemuka. Tetapi, ciri seperti kawalan kestabilan VSC dan ABS ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian.

Sebenarnya, kami ada satu lagi “hidangan” untuk anda berkaitan Myvi 2018 ini — sebuah video ulasan menyeluruh yang akan diterbitkan dalam masa terdekat. Semua soalan yang ditanyakan di atas, termasuk banyak lagi perkara seperti tahap penggunaan minyak dalam dunia nyata, ujian drag race, ujian kebisingan dalam kabin, ujian dari 0-100 km/j dan lain-lain telah kami jalankan dan akan disertakan dalam video itu nanti.

Jadi, terus perhatikan ruang ini atau Facebook kami untuk perkembangan selanjutnya. Sementara itu, kami tinggalkan anda dengan galeri terperinci bagi dua varian ini untuk anda nikmati. Ikuti juga laporan pandu uji Myvi 2018 yang telah kami sediakan.

GALERI: Perodua Myvi 2018 1.5 Advance

Perodua Myvi 2018 1.3 Premium X

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required