Motosikal jenama Royal Enfield yang berasal dari United Kingdom mungkin tidak begitu popular di Malaysia, kecuali bagi mereka yang berminat dalam dunia motosikal klasik. Namun, di luar negara, nama ini cukup dikenali kerana ia sudah wujud sejak tahun 1890 sementara di India pula ia terkenal sebagai pilihan utama untuk motosikal yang lasak dan serba tahan.

Model popular keluaran Royal Enfield tentunya adalah Bullet, tetapi pada tahun 2015, Royal Enfield telah memperkenalkan model jelajah baru yang digelar Himalayan. Berita baik untuk penggemar di Malaysia, model baru ini dikhabarkan sendiri oleh pengedarnya, The Big Bike Shop akan tiba dalam pasaran suku pertama tahun 2018. Harganya masih belum didedahkan, tapi kami meletakkan jangkaan di bawah RM40,000.

Keseluruhan motosikal ini adalah baru, bermula dari casis, hinggalah enjin L410 411 cc overhead cam, silinder tunggal dengan sejukan udara/cecair yang digunakan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 24.5 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada 4,500 rpm. Transmisi pula menggunakan kotak gear lima kelajuan.

Reka bentuknya mengambil pendekatan rekaan sebuah motosikal dual-purpose; kedudukan yang tinggi, rim 21 inci di bahagian depan manakala 17 inci dibahagian belakang. Ketinggian tempat duduk ialah 800mm. Berat basahnya pula ialah 183 kg. Ia sebuah jentera yang direka untuk kegunaan pada permukaan yang pelbagai dan jelajah.

Antara ciri lainnya adalah sistem suspensi depan fork 41 mm, dengan jarak mendapan 200 mm serta penyerap hentak tunggal di belakang, dengan jarak mendapan 180 mm. Pelindung angin di bahagian depan jentera ini adalah ciri standard dan begitu juga dengan kerangka untuk membawa beg barangan dibelakang; ia diperbuat daripada kimpalan besi biasa untuk memudahkan kerja-kerja baik pulih sekiranya perlu.

Lampu belakang dari jenis LED, sementara di depan hanya menggunakan lampu halogen biasa. Panel meter pula kekal menggunakan paparan analog, yang digandingkan dengan paparan LCD bagi bacaan odometer.

Bermula tahun 2015, Royal Enfield dilihat semakin serius ingin bersaing dalam pasaran global apabila melabur untuk pembukaan pusat teknologi di United Kingdom, dan mengambil lebih banyak jurutera serta pakar dari dalam industri. Buah tangan pertama pusat teknologi ini sudah pun dipertontonkan di EICMA 2017, iaitu Interceptor 650 Twin dan Continental GT 650 Twin.


GALERI: Royal Enfield Himalayan di GIIAS, Indonesia