Melihat akan perkembangan yang memberangsangkan di pasaran Amerika Utara, Mazda optimis untuk memacu langkah yang lebih agresif di sana.
Menurut laporan Automotive News yang telah menemubual CEO Mazda Masamichi Kogai, syarikat berkenaan merancang untuk memperkenalkan SUV baharu bagi pasaran berkenaan. Walau bagaimana pun, beliau tidak memberikan perincian lebih lanjut, namun dijangkakan ia merupakan SUV dengan tiga-barisan tempat duduk (kapasiti tujuh tempat duduk) yang bakal diletakkan di antara CX-5 dan CX-9.
Kogai berkata, perancangan untuk memperkenalkan SUV baharu di US didorong oleh lonjakan pasaran terhadap model kenderaan berkenaan yang kini mencapai 57% daripada keseluruhan jualan Mazda di negara tersebut. Walau bagaimana pun, Kogai positif mahu jualan dipertingkatkan sehingga 60%.
“Kami memiliki harapan yang besar. Ia terdorong dengan hasrat untuk mengembangkan pasaran di sana. Itu sebab kami mahu memperkenalkan SUV yang betul-betul baharu. Buat masa ini, jabatan R&D sedang bekerjasama dengan unit operasi di Amerika Utara,” ujar Kogai.
Ini merupakan strategi yang hampir sama dengan membangunkan CX-4 bagi pasaran China atau CX-8 untuk pasaran domestik Jepun.
Dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2021, model baharu ini mungkin boleh menggunakan semula nama CX-7 yang tidak dilanjutkan pengeluarannya sejak tahun 2012. Malah SUV baharu ini juga dijangka menjadi satu lagi langkah bagi Mazda untuk meningkatkan perkongsian pasaran yang buat masa ini sebanyak 1.7%.
Malah ia juga dijangka bakal menggunakan platform baharuyang lebih ringan, di samping mengetengahkan bahasa rekaan baharu dan beberapa teknologi penjana kuasa yang lebih terkini, termasuk bagi EV, hibrid sederhana, dan enjin petrol Skyactiv-X beserta dengan enjin mampatan diesel.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.