Mazda CX-4 China official 7

Mazda CX-4 yang disahkan hanya untuk pasaran di China sahaja, telah pun melakukan penampilan perdana secara rasmi di Beijing Motor Show 2016. CX-4 ini turut mempertaruhkan konsep Koeru seperti mana yang didedahkan di Frankfurt Motor Show 2015.

Dengan imej yang dipersembahkan, CX-4 ini tampil dengan gril radiator trapezoidal besar yang disambung pada utama yang melunjur ke belakang dengan teknologi LED. Manakala garisan bumbungnya yang lebih sporty turut disambungkan pada spoiler belakang yang juga tampak bergaya, bersama lampu kabus yang agak besar dan diposisikan di bahagian bawah bampar, dan di atas paip ekzos berkembar. Padanan rim aloi pilihan bersaiz 19-inci turut menyerlahlah lagi penampilannya.

Pada bahagian kabinnya, atmosferanya kelihatan mirip dengan mana-mana model terbaharu Mazda termasuk CX-3. Ia ditampilkan dengan paparan tujuh-inci gaya-tablet bagi sistem hiburan tetapi masih menerapkan brek parkir konvensional berbanding brek elektrik seperti CX-5. Konsol tengahnya pula diletakkan kawalan suhu automatik dwi-zon dan suis rotari di belakang tuil gear, bagi mengawal sistem hiburan.

Bagi penjana kuasanya, CX-4 menawarkan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter empat-silinder SkyActiv-G dengan kuasa 158 hp dan 202 Nm. Ia menyalurkan kuasa pada roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Manakala varian pacuan semua-roda dijanakan oleh enjin 2.5 liter empat-silinder SkyActiv-G dengan kuasa 192 hp dan 252 Nm. Ia turut menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Penggunaan bahan api bagi CX-4 ini dianggarkan sekitar 6.2 liter bagi setiap 100 km bagi enjin 2.0 liter dan 7.2 liter per 100 km untuk enjin 2.5 liter.