Honda Civic Type R FK8 serba baharu telah pun dilancarkan pada 9 November lalu. Kereta produksi pacuan roda hadapan paling pantas di Litar Nurburgring ini dijual pada atas jalan tanpa insuran RM320,000. Seperti juga pasaran-pasaran lain, Malaysia menerima Civic-R yang dibuat di Kilang Honda Swindon, UK.
Pagi ini, Honda Malaysia telah menyerahkan Civic Type R FK8 ini buat pelanggan pertamanya, Adrian Salleh Hashim, dalam majlis ringkas yang berlangsung di Botanic Auto Mall Sdn Bhd.
Timbalan Presiden Honda Malaysia, Akkbar Daniel berkata, “Kami kekal komited untuk memberikan kegembiraan buat pelangga kami dengan menawarkan produk yang bernilai tinggi dan termaju dalam teknologi. Civic Type R serba baharuini menonjolkan kelainan, di samping berprestasi dalam trek perlumbaan, ia juga boleh digunakan dalam pemanduan harian di jalan raya Malaysia.”
Menurut Akkbar lagi, satu tinjauan terhadap pelanggan telah dilakukan sebelum pelancaran Civic Type R 2007 atau lebih dikenali sebagai FD2R, dan Adrian Salleh merupakan antara pelanggan pertama yang ditemubual bagi mendapatkan maklum balas mengenai Type R, bagi mengenalpasti permintaan dan keperluaan dalam segmen pelanggan baharu. Minatnya yang mendalam terhadap Type R terbukti apabila Honda Malaysia menyampaikan jentera tersebut kepadanya, sekaligus menjadi pelanggan pertama yang memiliki hot hatch idaman ramai ini.
“Pada 2007, Malaysia menjadi satu-satunya negara di luar Jepun yang melancarkan FD2R. Malah Honda Malaysia berjaya menjual 420 unit FD2R antara tahun 2007 hingga 2011. Pencapaian ini mungkin disebabkan populariti dan permintaan terhadap kereta lumba yag turut boleh dipandu di jalan raya biasa. Malah kita juga menyaksikan pertambahan bilangan peminat-peminat Honda dan juga penggemar jentera seperti Type R ini,” ujar Akkbar lagi.
Sejak tempahan bagi Civic Type R FK8 ini dibuka pada 1 Oktober lalu, Honda Malaysia telah menerima lebih daripada 70 tempahan.
Adrian Salleh yang bertuah menjadi pemilik pertama Civic Type R generasi terbaharu ini berkata, “Pelancaran Civic Type R serba baharu ini membuatkan saya mahu mengujinya. Saya sangat teruja dengan luaran yang sporty dan berani, malahan prestasinya yang sungguh berkuasa juga sangat sesuai untuk saya memandunya setiap hari. Bagi saya, ia memiliki elemen unik seperti mod 3-Way Driving iaitu COMFORT, SPORT dan +R Mode yang memberikan saya peluang melaras mod pemanduan mengikut prestasi dinamik yang berbeza dalam persekitaran pemanduan yang berlainan.”
Selain menjadi rakyat Malaysia yang pertama membawa pulang hot hatch ini, Adrian turut bertuah dihadiahkan beberapa barangan termasuk cenderahati istimewa dari Honda, GoPro HERO 5 dan Honda Ultra Glass Body Coating dengan Ultra Window Coating bernilai RM5,300 sebagai token penghargaan daripada Honda Malaysia.
Civic Type R generasi baharu ini dijana enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, dipadankan dengan hanya kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat bersama short shifter dan LSD helical. Berbanding model Eropah dan Jepun yang menerima talaan kuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm, pasaran ASEAN termasuk Malaysia menerima talaan kuasa 310 PS dengan jumlah tork yang sama.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.