Geely, iaitu pemilik jenama Volvo dan pemegang sebahagian besar saham dalam Proton, kini meneruskan pula usaha pemilikan saham dalam syarikat induk Mercedes-Benz, iaitu Daimler. Perkara ini dilaporkan oleh surat khabar Hong Kong, The Standard, yang memetik siaran China Central Television, namun jumlah sebenar pembelian tersebut tidak didedahkan.
Laporan ini turut mengatakan bahawa Geely berminat untuk mendapatkan antara tiga ke lima peratus daripada Daimler, yang boleh membawa nilai sekitar empat bilion euro. Jika perkara ini menjadi realiti, Geely akan menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam syarikat induk Mercedes-Benz ini.
Daimler dilaporkan pernah menolak bidaan Geely untuk membeli 5% daripada saham syarikat tersebut bulan lalu, tetapi menurut sumber, Geely masih dialu-alukan untuk membeli saham dalam pasaran terbuka. Kedua-dua syarikat pengeluar kenderaan ini bertemu di Beijing bulan lalu.
Wakil daripada Geely tidak mahu memberi sebarang komen sementara wakil daripada Daimler pula memberitahu syarikat “sangat gembira dengan struktur pemegang saham yang ada sekarang,” tetapi menambah ia masih mengalu-alukan pelabur baru yang mempunyai minat jangka masa panjang dalam syarikat.
Orang dalam percaya ini mempunyai banyak kaitan dengan teknologi kenderaan elektrik, serta kuota baru China yang mensasarkan pengurangan pencemaran alam dan kebergantungan kepada minyak. Sumber juga mengatakan Geely mahu mencapai teknologi bateri EV Daimler dan mahu memulakan kerjasama EV di Wuhan.
Peliknya, laporan tersebut tidak memetik langsung nama rakan kongsi sedia ada Daimler di China iaitu BYD, yang juga adalah peneraju kenderaan EV di China, dan BAIC. BAIC telah mengumumkan sebelum ini bahawa ia akan menghentikan pengeluaran serta penjualan kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman menjelang 2025, dan pergi sepenuhnya kepada kenderaan elektrik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.