Mitsubishi Outlander 2.4 CKD diperkenalkan – RM155k

Mitsubishi Outlander 2.4 CKD diperkenalkan – RM155k

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan model SUV tujuh-tempat duduk Outlander 2.4 versi pemasangan tempatan (CKD) telah pun diperkenalkan di pasaran tempatan. Sekaligus menyertai Outlander 2.0L CKD yang telah diperkenalkan sejak September lalu.

Outlander 2.4L ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter DOHC MIVEC dengan hamburan kuasa sehingga 167 PS dan tork 222 Nm. Seperti mana model 2.0L, ia turut dipadankan dengan transmisi INVECS-III CVT yang turut dilengkapi dengan pedal penukar gear di belakang roda stereng untuk kawalan pengendalian yang lebih menyeronokkan. Transmisi ini turut menyalurkan kuasa kepada sistem Multi-Select 4WD, yang merangkumi mod 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock – sesuai untuk semua keadaan laluan.

Bagi menampakkan imej yang lebih bergaya, Outlander 2.4L baharu ini juga dilengkapi dengan lampu utama projektor berkembar LED penuh dan lampu nyalaan siang LED, serta lampu belakang LED. Menyerlahkan lagi gayanya dengan kehadiran rekaan baharu bagi roda aloi dua-tona bersaiz 18-inci bersama spoiler belakang aerodinamik dan bumbung matahari. Tailgate larasan elektronik dengan fungsi ‘anti-pinch’ turut didatangkan bagi kemudahan yang lebih optimum.

Untuk ruang kabinnya, Outlander 2.4L CKD ini turut dilengkapi dengan elemen baharu termasuk tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu. Selain itu, ia turut menerima cermin pandang belakang auto-pengelaman dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh HD tujuh-inci bersama fungsi Apple CarPlay.

Malahan skrin juga didatangkan dengan fungsi Air Gesture Control. Lain-lain ciri standard yang ditampilkan termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang push start. Bagi ruang kargonya, ia mampu mencapai sehingga 1,608 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan.

Bagi aspek keselamatannya, Outlander 2.4L CKD ini Auto Hold Assists dan All Round Monitor (dengan pandangan 360-darjah termasuk titik buta) sebagai elemen baharu. Dan turut menyertakan elemen keselamatan seperti model 2.0L CKD iaitu tujuh beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman & Kestabilan Aktif (ASTC), Bantuan Mula Mendaki, Perakam Video Digital (DVR), filem penebat haba keselamatan, Rest Reminder dan cagak ISOFIX. Bagi ketegaran kerangkanya, ia turut menggunakan binaan Mitsubishi Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).

Ia menawarkan tiga pilihan warna iaitu Ruby Black, Red Metallic, dan warna baharu Solar White Ruby Black. Telah pun mula berada di semua bilik pameran Mitsubishi, Outlander 2.4L CKD ini ditawarkan pada harga atas jalan RM155,000 (termasuk GST, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti kilang standard selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad dan dua-tahun penyelenggaran percuma. Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang bulan hadapan, MMM turut menawarkan diskaun sehingga RM4,000 untuk Outlander.

Ikuti ulasan pandu uji Outlander 2.4L versi import sepenuhnya (CBU) di sini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required