Ketika membicarakan tentang SUV dalam segmen C, ketika ini terdapat sangat banyak pilihan yang menarik ditawarkan dalam pasaran tempatan. Hero utama tentulah Honda CR-V, yang sejak dari generasi awalnya menjadi pilihan ramai – pengenalan model generasi terbarunya tahun ini pula mengukuhkan lagi kedudukan itu.

Kemudian, ada model-model seperti Nissan X-Trail, Mazda CX-5, Hyundai Tucson, Volkswagen Tiguan, Kia Sportage, Peugeot 3008 dan tentulah senarai ini boleh jadi lebih panjang lagi. Tetapi, semua SUV yang disebut ini – kecuali Nissan X-Trail – hadir dengan kapasiti yang mampu menampung lima penumpang sahaja. Nissan X-Trail hadir dengan tujuh-tempat duduk, atau lebih tepat sebenarnya 5+2.

Jika mengambil kira jumlah tujuh tempat duduk yang ditawarkan pada mana SUV dalam kelas yang sama ini, ia hanya akan meninggalkan kita dengan dua pilihan sahaja sebenarnya – Nissan X-Trail dan juga model SUV yang akan kita tinjau lebih dekat dalam ulasan ini, iaitu Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD pemasangan tempatan (CKD).

Mitsubishi Outlander ini pula bukanlah model yang baru diperkenalkan di sini. Ia awalnya diperkenalkan secara rasmi di Malaysia sekitar April 2016, dalam versi import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dengan hanya satu pilihan enjin iaitu 2.4L liter 4WD sahaja. Harga jualannya ketika itu ialah RM166,720 tanpa insurans.

Beralih ke tahun ini, model 2.4L yang sama diberikan peningkatan kelengkapan dan diperkenalkan pada bulan Mac 2017. Antaranya ialah pertambahan ciri yang diperkenalkan ialah brek parkir elektronik dan antena shark fin. Selain itu, varian ini juga datang dengan pencahayaan untuk bahagian lantai.

Selepas itu, pada Oktober lalu, Outlander kemudiannya menerima tambahan varian baru, iaitu dengan pengenalan model 2.0L 4WD. Tidak hanya itu, ia merupakan pemasangan tempatan dari kilang Tan Chong di Segambut. Dan perkara inilah yang meletakkan varian terbaru bagi SUV ini cukup menarik.

Mengapa? Mudah saja. Pertama, lihat kepada harga varian ini yang ditawarkan kini. Berbanding versi 2.4L terdahulu yang dijual pada harga RM171,000, model 2.0L 4WD CKD ini pula dibuka untuk jualan pada harga RM139,988 – dengan berbezaan harga yang sangat ketara, pengurangan sebanyak RM30,000.

Dengan ini, Outlander 2.0L mempunyai dua senjata ampuh untuk memenangi persaingan dalam penawaran kelas SUV yang sama; iaitu harganya yang sangat kompetetif dan juga kapasiti tujuh-tempat duduk yang ditawarkannya. Jadi, dengan pengenalan varian baru ini, Mitsubishi Outlander kini ada dua pilihan enjin yang ditawarkan kepada pengguna.

Sedikit tentang sejarah model Outlander ini. Susur galur model ini bermula dengan model yang dikenali dengan nama Airtrek untuk pasaran Jepun yang diperkenalkan pada 2001 lagi. Namun, nama Outlander mula digunakan pada 2003 dibeberapa pasaran dunia – inilah permulaan generasi pertama kepada model berkenaan.

Kemudian, pada 2005, generasi kedua Outlander diperkenalkan. Dan, penampilan Outlander seperti yang ada kini adalah dari generasi ketiganya yang mula muncul sekitar tahun 2012. Model yang dipasarkan di Malaysia ini khususnya adalah dari versi facelift generasi ketiga itu – tentunya dengan lebih banyak kelengkapan dan peningkatan yang telah dilakukan.

Seperti yang dinyatakan tadi, Outlander 2.0L ini dipasang di kilang Tan Chong Segambut, yang juga merupakan pengilang dan pengedar kenderaan Nissan di Malaysia. Ini bukanlah terlalu aneh; kilang yang sama juga turut memasang model Subaru XV.

Antara Mitsubishi dan Nissan, walaupun sebelum ini kedua-duanya tidak mempunyai apa-apa pertalian, perkembangan semasa sebelum ini telah mengubah lanskap itu – Mitsubishi menjadi jenama terbaru yang bergabung di bawah pakatan Renault-Nissan diperingkat global, menjadikan hal ini sebenarnya selari dengan perkembangan berkenaan.

Seperti yang kita tahu, bagi Mitsubishi sendiri, ini bukanlah model pertama syarikat itu yang dipasang di sini secara CKD. Sebelum ini, model SUV kompak ASX juga telah melalui pendekatan yang sama – juga dipasang dikilang yang sama. Kalau ada sudah meneka, jawapannya ya; enjin 2.0 liter pada Outlander ini adalah enjin yang sama digunakan oleh ASX CKD sebelum ini.

Ini membawa kita untuk melihat kuasa yang dijana oleh enjin DOHC MIVEC ini – 145 PS dan 196 Nm dan dipadankan dengan kotak gear INVECS-III CVT. Sebagai perbandingan, enjin 2.4L pada SUV ini pula menghasilkan sebanyak 167 PS kuasa dan 222 Nm tork (kurang 22 PS dan 26 Nm dari model 2.4L). Perbezaan ini bagaimanapun memberikan bacaan penggunaan bahan api yang sedikit berbeza; 13 km/l bagi model 2.4L manakala bagi model 2.0L pula memberikan 13.7 km/l.

Menggunakan blok enjin alumimium, Outlander 2.0L ini mencatatkan berat (curb weight) 1,425 kg; ini bahkan lebih ringan berbanding ASX yang datang dengan berat 1,475 kg. Dan, walaupun enjin yang sama digunakan, menurut pengeluarnya, versi yang digunakan pada Outlander kini 10% kurang bising – yang menyumbang kepada keseluruhan pemanduan yang juga lebih senyap.

Satu lagi penambahbaikan yang buat untuk menjadikan model ini lebih baik dari ASX ialah tahap kehilangan tork yang pada sistem transmisi (transmission loss torque) bagi kotak gear INVECS-III CVT yang di gunakan. Hal itu kini berjaya diperkemas, menjadikannya 26% lebih baik.

Ini seterusnynya menyumbang kepada pengurangan geseran komponen dan menjadikan operasinya lebih senyap. Selain itu, maklum balas pendikit juga makin baik, dengan pengalaman pecutan yang lebih lancar. Semua ini kemudiannya membolehkan Outlander 2.0L ini mencapai penggunaan minyak yang bertambah baik.

Dari segi dimensi, ia sama sahaja dengan model 2.4L sebelum ini – 4,695 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,680 mm tinggi dengan jarak antara rodanya 2,670 mm. Dari rekaan luaran, yang membezakan kedua varian ini ialah versi Outlander 2.0L dilengkapi dengan lampu utama projektor halogen, dengan ciri dan rekaan luarannya sama sahaja.

Bagi ruang barangan pula, kapasiti yang tersedia ialah 477 liter. Tetapi, dengan kerusi barisan kedua dan ketiga diturunkan, anda akan mempunyai 1,608 liter keluasan untuk membawa barangan. Kerusi barisan keduanya juga boleh dianjak dalam jarak 150 mm untuk memberikan ruang lebih kepada penumpang dibarisan ketiga.

Dari segi keselamatan, kelengkapannya tetap sama dengan model 2.4L. Outlander 2.0L ini dilengkapi dengan tujuh beg udara, Active Stability Control (ASC), kawalan cengkaman, Hill Start Assist serta peringatan rehat yang akan membunyikan amaran setelah beberapa jam pemanduan.

Jadi, apa pula tanggapan terhadap pengalaman pemanduan yang ditawarkan oleh model Outlander 2.0L ini? Dalam perjalanan singkat dari Kuala Lumpur ke Janda Baik-Bentong yang sempat kami lakukan tempoh hari, SUV ini secara umumnya tidak mengecewakan.

Walaupun dengan kapasiti enjin yang lebih kecil, ia tidak mengorbankan prestasi dan maklum balas pemanduan yang diberikan. Bahkan, ketika memandu dalam hujan di Lebuhraya Karak, setiap selekoh mampu dilalui dengan sangat yakin, terima kasih kepada ciri 4WD yang ada padanya.

Berkaitan sistem 4WD juga, ada tiga pilihan untuk pemandu – 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock. Semua ini ada kegunaan yang spesifik. 4WD Eco adalah untuk kegunaan dalam bandar yang tidak terlalu mencabar dan mod ini turut mementingkan kecekapan penggunaan minyak – membantu pemandu mengekalkan kestabilan dalam situasi sederhana.

4WD Auto pula sesuai sekiranya pemandu ingin membiarkan sistem menilai dan memilih sistem pacuan semua roda pada situasi yang dirasakan perlu, misalnya ketika cuaca hujan dan jalan basah. Tapi, sekiranya permukaan jalan memang mencabar ala off-road yang ringan atau laluan mendaki, pemandu boleh menjadikannya terkunci sepanjang masa dalam mod 4WD Lock.

Sepanjang perjalanan, kabinnya juga sangat selesa dan membolehkan penumpang duduk dalam keadaan rehat. Material hitam yang digunakan memberikan sentuhan premium pada ruang berkenaan. Dan, oleh kerana ia ada tempat duduk barisan ketiga, kami cuba nilai ciri berkenaan.

Ia memang boleh memuatkan penumpang dewasa. Walaupun ruang lutut terhad (ini boleh ditambah kelegaannya dengan menggelongsorkan kerusi barisan kedua ke hadapan sedikit), lantai yang ada agak cetek. Mungkin, bagi kanak-kanak atau remaja, ia masih boleh diduduki dengan sangat selesa.

Prestasinya memadai sebagai sebuah SUV – memang maklum balas pendikit ketika ditekan habis tidaklah telalu pantas, namun dalam pemanduan biasa kebanyakan pemandu akan menggunakan kenderaan jenis ini, ia boleh dikatakan baik. Mungkin, jika tujuh penumpang penuh berada di dalam SUV ini, ia akan terasa sedikit berat jika ingin dikerah kuasanya.

Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD ini sesuai untuk siapa? Antaranya, untuk mereka yang perlukan SUV tujuh tempat duduk tetapi tak mahu belanja besar untuk dapatkan model-model yang lebih besar, seperti Toyota Fortuner atau Isuzu MU-X.

Dan, yang turut menjadi kelebihan model ini adalah harga yang ditawarkan, serta ciri-ciri keselamatan yang melengkapinya. Walaupun mungkin reka bentuknya mungkin disukai atau dibenci sesetengah orang, senarai penawaran yang ada sebenarnya sukar untuk disangkal sebagai antara kelebihan yang berguna untuk model ini. Adakah kita masih perlukan varian Outlander 2.4L 4WD sekiaranya Outlander 2.0L CKD ini sudah memadai dan jauh lebih murah?