GALERI: Isuzu MU-X 2.5L 4WD facelift 2017 – cukup luas dan berkuasa, tetapi bukan untuk semua orang

GALERI: Isuzu MU-X 2.5L 4WD facelift 2017 – cukup luas dan berkuasa, tetapi bukan untuk semua orang

Di pasaran Malaysia, jika anda ingin mencari sebuah SUV 4WD tujuh tempat duduk saiz sebenar, dengan enjin diesel, pilihan yang ada tak banyak, dan majoritinya dari pengeluar Jepun. Sebagai contoh, Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, Isuzu MU-X atau mungkin dua wakil dari pengeluar Korea – Hyundai Santa Fe dan juga Kia Sorento.

Dengan model-model keluaran syarikat Korea yang lebih memenuhi keperluan penggunaan dalam bandar, tiga model SUV dengan binaan ladder frame keluaran Jepun itu pula mempunyai reputasi sebagai kenderaan pacuan empat roda yang lebih lasak untuk permukaan jalan yang pelbagai.

Dan hal ini juga menjadi kelebihan kepada penawaran bagi Isuzu MU-X 2.5L 4WD versi facelift 2017 yang diperkenalkan secara rasmi Ogos lalu. Berkongsi asas yang sama, ia bolehlah disifatkan sebagai lanjutan kepada versi trak pikapnya, D-Max, yang ditampilkan dalam bentuk SUV kabin penuh.

GALERI: Isuzu MU-X 2.5L 4WD facelift 2017 – cukup luas dan berkuasa, tetapi bukan untuk semua orang

Bagi versi facelift terbaru ini, tiada perubahan mekanikal dilakukan; ia masih dijana enjin turbo diesel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksimum 320 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama kotak gear lima-kelajuan automatik dengan penukar gear manual. Isuzu Malaysia masih lagi belum menawarkan enjin RZ4E-TC 1.9 liter Ddi Blue Power turbodiesel, yang ditawarkan pada D-Max dan MU-X pasaran Thailand.

Tapi, dari segi kelengkapan ciri dan rekaan, banyak yang ditambah. Antaranya ia menerima rupa luaran lebih segar, menampilkan bampar hadapan dengan rekaan baru pada bahagian perumah lampu kabus (kini diberikan lebih banyak elemen krom) serta gril dengan reka bentuk baru. Versi ini juga diberikan lampu hadapan LED (projektor halogen pada model sebelum ini) yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang LED.

Rekaan bampar belakang juga dirombak semula. Bentuk perumah lampu belakang masih kekal sama, tetapi visual bahagian dalam lampu diubah bagi diselarikan dengan yang terdapat di depan. Model ini turut diberikan spoiler belakang baharu yang lebih menyerlah dan juga rim aloi 18-inci dengan rekaan baharu.

GALERI: Isuzu MU-X 2.5L 4WD facelift 2017 – cukup luas dan berkuasa, tetapi bukan untuk semua orang

Bagi bahagian dalam pula, rekaan keseluruhan masih lagi kelihatan seiras dengan model sebelum ini dengan diberikan beberapa kemasan lebih premium, termasuk penggunaan plastik sentuhan-lembut dan juga trim kayu buatan pada berberapa bahagian kabin. Papan pemuka juga masih lagi menggunakan susunan yang sama seperti sebelum ini dan juga seiras pada unit yang dipadankan pada trak pikap Isuzu D-Max.

Untuk membezakan antara kedua-dua varian, model 4×2 diberikan skrin sesentuh tujuh-inci manakala model 4×4 diberikan skrin lapan-inci. Kedua-dua unit pemain utama tersebut menyokong fungsi MP3, Bluetooth dan Ipod serta diberikan input AUX dan juga USB, dihubungkan kepada lapan pembesar suara. Varian tertinggi – seperti yang anda lihat di sini – turut diberikan monitor DVD yang diletakkan pada bahagian bumbung.

Dari segi pemanduan dan keselesaan – oleh kerana ia menggunakan kerangka ladder frame – sangat ketara dapat dirasakan badannya teroleng dan beralun ketika dalam perjalanan. Jika anda ingin mempertimbangkan kenderaan jenis sama, faktor yang dinyatakan ini perlu diambil kira dan difahami dahulu.

GALERI: Isuzu MU-X 2.5L 4WD facelift 2017 – cukup luas dan berkuasa, tetapi bukan untuk semua orang

Walaupun memang keluasan ruang kabinnya sangat luas dan benar-benar dapat memuatkan tujuh orang penumpang dengan situasi ruang yang memadai, tetapi keselesaan dalam perjalanan adalah satu perkara yang lain. Misalnya, ketika memandu unit ini, kami sempat melalui jalan Bentong-Bukit Fraser-Kuala Kubu Baru.

Untuk duduk di dalamnya, terutama di bahagian tempat duduk belakang dalam keadaan laluan bengkang-bengkok adalah sangat memenatkan. Bagi yang tak biasa, kepala juga boleh jadi pening dibuatnya. Tapi, kelebihannya akan terserlah misalnya ketika anda memasuki kawasan off-road, atau ingin meredah kawasan yang dinaiki air. Ketika itu, keyakinan yang diberikan oleh SUV ini sangat berguna – tetapi tidak dilaluan biasa.

Bagi aspek pemanduan yang lain, enjin diesel yang membekalkan cenderung membekalkan daya tork yang baik banyak membantu, sebagai contoh ketika ingin menggerakkan kenderaan ini, serta memudahkan untuk memotong. Dalam keadaan ini kuasa yang ada padanya sangat dihargai. Tapi kalau anda rasa nak memandu laju SUV ini, itu perlu difikirkan banyak kali.

Memang momentum dan lajak yang ada pada SUV ini memadai untuk anda membolehkan anda berbuat demikian, tapi dalam keadaan yang tidak terjangka, misalnya ada hadangan trafik dalam laluan anda, ia mungkin lebih sukar dikawal dalam keadaan kecemasan seperti ketika ingin mengelak halangan dalam kelajuan tinggi. Ia besar, berat dan kedudukan dari tanah juga tinggi – untuk mengendalikannya juga jangan dilakukan secara semberono.

Isuzu MU-X dipasarkan dalam dua varian iaitu 2.5L 4×2 automatik dijual pada harga RM176,640.40 dan juga 2.5L 4×4 automatik dijual pada harga RM183,000.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran tetapi termasuk GST. Setiap pembelian MU-X baharu juga diberikan jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required