Isu panggilan semula inflator beg udara Takata – tambahan 3.3 juta kenderaan lagi terbabit di Amerika

Isu panggilan semula inflator beg udara Takata – tambahan 3.3 juta kenderaan lagi terbabit di Amerika

Nampaknya isu panggilan semula paling besar dalam sejarah automotif – inflator beg udara Takata – masih lagi belum selesai. Di Amerika Syarikat, pembekal komponen keselamatan berkenaan kini menambah sejumlah 3.3 juta kenderaan lagi dalam senarai panggilan semula berkenaan. Senarai baharu ini membabitkan pelbagai pengeluar yang memproduksi kenderaan mereka dari 2009, 2010 dan 2013.

Untuk kali ini antara pengeluar yang terlibat adalah Audi, BMW, Fiat Chrysler, Ford, General Motors, Honda, Jaguar-Land Rover, Mazda, Mercedes-Benz, Mitsubishi, Nissan, Subaru, Tesla dan Toyota. Seperti juga panggilan semula sebelumnya, kesemua inflator beg udara bahagian hadapan kereta-kereta berkenaan akan ditukar kepada komponen baharu.

Menurut laporan berita, model-model yang terlibat dalam panggilan semula ini akan dikenalpasti secara spesifik oleh pengeluar-pengeluar terbabit apabila kertas-kertas kerja bersama Pentadbiran Keselamatan Trafik Nasional Amerika Syarikat (NTHSA) dilengkapkan dalam bulan ini.

Masalah inflator beg udara Takata ini adalah kerana propelan di dalamnya yang terjejas kerana terdedah kepada kelembapan dan suhu tinggi pada masa yang lama. Inflator tersebut mengandungi propelan ammonium nitrat dalam keadaan stabil yang lembab, dan jika ia merosot dalam tempoh masa lama, berpotensi untuk meletup terlalu pantas ketika beg udara diaktifkan.

Ini akan menyebabkan perumah inflator itu sendiri yang diperbuat dari logam meletup sebelum mengembangkan beg udara, yang akan menyebabkan serpihan logam berkenaan ‘menembak’ ke setiap arah ke dalam kabin, dan berpotensi mencederakan atau lebih teruk menyebabkan kematian penumpang atau pemandu kenderaan itu sendiri.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 20 orang telah terbunuh manakala 180 orang lagi mengalami kecederaan di seluruh dunia. Panggilan semula ini akan terus dijalankan secara berperingkat dalam masa tiga tahun akan datang, dan keutamaan diberikan kepada kereta-kereta lama dan kenderaan-kenderaan yang berada pada kawasan dengan kelembapan dan suhu yang tinggi.

Di Amerika sendiri, panggilan semula berkenaan telah melibatkan 69 juta unit inflator yang dilengkapi pada 42 juta kenderaaan dari 19 pengeluar automotif berlainan. Januari tahun lalu, Takata Corp telah didakwa melakukan kesalahan jenayah dan bersetuju untuk membayar US$ 1 bilion bagi melengkapkan penyiasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dalam isu ini.

Manakala pada Jun lalu pula, 11 bab perlindungan bankrap telah di failkan di Amerika, manakala syarikat ini turut disahkan bankrap di Jepun. Panggilan semula terbaharu di Amerika ini adalah yang terkini selepas tindakan yang sama dilakukan di China September lalu yang melibatkan 4.86 juta kenderaan keluaran FAW-VW dan SAIC VW, manakala GM dan syarikat usahasama mereka turut perlu memanggil semula lebih 2.5 juta kenderaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required