Dua minggu lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menguar-uarkan kehadiran model SUV tujuh-tempat duduk Outlander 2.4L versi pemasangan tempatan (CKD) di pasaran tempatan. Sekaligus melengkapkan barisan Outlander versi CKD di negara ini selepas varian 2.0L diperkenalkan September lalu.

Tampil dengan imej yang tampak bergaya, maskulin dan lasak, Outlander 2.4L baharu ini dipadankan dengan lampu utama projektor berkembar LED penuh dan lampu nyalaan siang LED, serta lampu belakang LED. Bukan itu sahaja, roda aloi dua-tona bersaiz 18-inci bersama spoiler belakang aerodinamik dan bumbung matahari turut menambahkan lagi karakteristik penuh maskulin bagi SUV ini. Selain itu, tailgate larasan elektronik dengan fungsi ‘anti-pinch’ turut didatangkan bagi kemudahan yang lebih optimum.

Menjengah bahagian kabinnya, Outlander 2.4L CKD ini turut dilengkapi dengan elemen baharu termasuk tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu. Selain itu, ia turut menerima cermin pandang belakang auto-pengelaman dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh HD tujuh-inci bersama fungsi Apple CarPlay.

Malahan skrin juga didatangkan dengan fungsi Air Gesture Control. Lain-lain ciri standard yang ditampilkan termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang push start. Bagi ruang kargonya, ia mampu mencapai sehingga 1,608 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan.

Seperti mana veris CBU, Outlander 2.4L CKD ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter DOHC MIVEC dengan hamburan kuasa sehingga 167 PS dan tork 222 Nm. Malah ia juga dipadankan dengan transmisi INVECS-III CVT yang turut dilengkapi dengan pedal penukar gear di belakang roda stereng untuk kawalan pengendalian yang lebih menyeronokkan. Transmisi ini turut menyalurkan kuasa kepada sistem Multi-Select 4WD, yang merangkumi mod 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock – sesuai untuk semua keadaan laluan.

Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemanduan, Outlander 2.4L CKD dilengkapi dengan Auto Hold Assists dan All Round Monitor (bersama pandangan 360-darjah termasuk titik buta) sebagai elemen baharu. Malah ia turut didatangkan dengan elemen keselamatan sama seperti model 2.0L CKD, ini termasuk tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan Bantuan Brek.

Selain itu, ia masih mengekalkan Kawalan Cengkaman & Kestabilan Aktif (ASTC), Bantuan Mula Mendaki, Perakam Video Digital (DVR), filem penebat haba keselamatan, Rest Reminder dan cagak ISOFIX. Bagi ketegaran kerangkanya, ia tetap menggunakan binaan Mitsubishi Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).

Outlander 2.4L CKD ini ditawarkan pada harga atas jalan RM155,000 (termasuk GST, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti kilang standard selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad dan dua-tahun penyelenggaran percuma. Ia turut didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Ruby Black, Red Metallic, dan warna baharu Solar White Ruby Black.