PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

Sejak generasi pertamanya dilancarkan pada tahun 2012 lalu, ia bukanlah SUV crossover yang popular di Malaysia. Mungkin juga ada yang kurang berkeyakinan dengan kredibilitinya biar pun menampilkan sistem pacuan empat-roda. Bagi mereka, Subaru XV ini lebih sesuai untuk pemanduan urban, bukannya layak dilenjan di laluan off-road. Ini kerana imej luarannya kelihatan rugged dan stylo. Kurang sifat lasak. Itu kata sebahagian dari mereka.

Walau pun kelibatnya di atas jalan raya tidaklah serancak model persaing terdekatnya iaitu Honda HR-V, namun XV tetap ada golongan penggemarnya yang tersendiri. Namun sejak dua menjak ini, XV kerap kelihatan di jalan raya, seakan mengatasi dua lagi model persaingnya iaitu Mitsubishi ASX dan Mazda CX-3. Mungkin kelebihannya sudah mula terbongkar dan makin mendapat perhatian.

Justeru, pengedar rasminya di Malaysia, TC Subaru Sdn Bhd, tekad memperkenalkan model generasi kedua Subaru XV ke pasaran tempatan pada November tahun lalu. Apatah selepas memperlihatkan sambutan terhadap SUV crossover kian mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia. Dan selain faktor, XV sebagai killer model bagi Subaru di sini, selain abangnya, Forester.

XV 2018 ini ditawarkan dengan dua varian, bermula dengan model asas 2.0i yang berharga sekitar RM119k, dan model spesifikasi penuh 2.0i-Premium dengan harga RM126k, iaitu RM9k lebih mahal berbanding varian tertinggi HR-V.

PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

Sekilas pandang, XV generasi kedua ini tidak banyak bezanya dengan model facelift generasi terdahulu. Namun, sebenarnya juga banyak menampilkan pembaharuan dan perubahan yang lebih signifikan, pastinya lebih menarik berbanding model sebelumnya.

Beberapa minggu lalu, kami berpeluang memandu uji XV 2018 bersama varian 2.0i-P, di samping membuat perbandingan antaranya dengan model terdahulu. Namun sebelum kita terjah lebih mendalam mengenai soal prestasi dan peningkatan mekanikalnya, biarlah kisah imej luaran dan dalamannya menjadi pembuka bicara lebih lanjut.

Masih mengekalkan imej rugged, namun pembaharuan yang dibawa oleh Subaru untuk XV baharu ini tidaklah begitu drastik. Untuk elemen luarannya, model spesifikasi tertinggi dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C (2.0i masih mengekalkan reflektor halogen), kekemasan garisan cermin krom dan rel bumbung berwarna perak. Ia memberikan perbezaan antara kedua-dua varian, dan turut dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, pemegang pintu berwarna perak,spoiler bumbung, shark fin antenna, dan roda aloi dua-tona 17-inci yang dibaluti tayar 225/60R17.

Jika dari pandangan penulis, imej luarannya tidak begitu perubahan ketara, namun ketika menjengah ke kabinnya, ia ternyata lebih menguja. Banyak perubahan drastik dibawakan untuk XV 2018 ini dan ternyata ia lebih kemas, elegan dengan imej yang lebih premium dan memikat. Malah boleh dikatakan, penampilan dalaman XV 2018 ini terbaik dalam kelasnya, sekaligus mengatasi persaingnya yang lain termasuk CX-3. Penulis pasti kebanyakan pemilik XV terdahulu akan berasa cemburu dengan imej dalamannya.

PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

Bentangan yang nampak premium dengan sentuhan lembut berkualiti tinggi pada permukaan papan pemuka menarik menarik pandangan mata. Malah elemen tersebut turut menjalari bahagian terowong tengah hinggalah ke permukaan pintu. Memang cukup berbeza dengan apa yang diberikan pada model terdahulu…ya, jauh berbeza.

Susun atur suis kawalan termasuk bagi kawalan suhu dwi-zon dengan penapis anti-habuk, juga diperkemaskinikan, menyahkan pandangan yang agak membosankan pada imej konservatif pada model terdahulu. Paparan pelbagai-fungsi 6.3-inci yang memaparkan beberapa data pemanduan termasuk trip meter, penggunaan bahan api, bacaan suhu luaran, tarikh dan waktu juga tampil baharu

Walau bagaimana pun, penulis kurang menyenangi unit paparan utama pelbagai-fungsi LCD lapan-inci buatan Panasonic yang ditampilkan pada XV 2018 ini. Memanglah skrin sesentuhnya lebih besar namun ketika mengendalikannya, ada cetusan kurang puas hati terutamanya pada resolusi kecerahan skrin. Biar pun dalam tatapan yang paling maksimum, namun di bawah cahaya matahari, ia masih kelihatan agak begitu samar. Mungkin juga kedudukan skrinnya atau pun teknologi yang diberikan masih kurang memuaskan. Bukan nak komplen ia tidak berkualiti, tetapi sedikit kurang.

Kemudian, roda stereng tiga-jejari yang diameternya sedikit kecil berbanding model terdahulu, menjemput pandangan, lantas minta dibelai. Ok, satu lagi elemen yang jauh berbeza dari model terdahulu. Kali ini XV 2018 memberikan roda stereng balutan kulit (varian asas hanya balutan material PU sahaja) yang lebih selesa dipegang, dengan butang kawalan yang lebih diperkemasi serta masih mengekalkan penukar gear di belakangnya.

Seterusnya, mata melewati tombol gear yang juga menerima sentuhan baharu, di samping butang brek parkir elektronik yang menggantikan tuil brek tangan, dan turut ditampilkan butang bagi Hill-Start Assist dan X-Mode yang sebelum ini juga tiada pada model terdahulu.

Jahitan kontras jingga yang merentasi bahagian papan pemuka dan konsol tengah turut menghiasi bahagian tempat duduk balutan fabrik upholstery bersama kekelasan kulit tiruan. Hanya tempat duduk pemandu yang hadir dengan larasan elektronik (bersama lumbar inflator). Kekemasan gentian karbon tiruan pada pemegang pintu juga menampilkan keunikan bagi varian ini.

Tempat duduk belakang juga turut menerima ruang kaki yang dipertingkatkan, hasil jarak roda yang lebih panjang. Walau bagaimana pun, di tempat duduk belakang, masih tidak disertakan corong pendingin hawa.

Elemen lain yang turut ditampilkan bagi XV baharu ini ialah perehat tangan yang lebih premium dengan dua port USB di dalamnya, dua tempat letak cawan tanpa penutup yang diubah posisinya menjadi melintang (posisi menegak dengan penutup pada XV terdahulu) pada konsol tengah, kamera pandang belakang dengan panduan garisan parkir yang lebih efisien, port USB di panel tengah, sistem kunci kawalan jauh, butang Push-Start (jenis pengesan sentuhan) dengan akses tanpa kunci dan akses kod PIN.

XV 2018 versi Malaysia juga masih tidak menerima fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, tidak seperti pasaran negara lain. Namun masih mengekalkan ketersambungan Bluetooth dan HDMI. Selain itu, ia menampilkan enam-pembesar suara dengan dua tweeter tambahan pada panel tengah untuk bunyi yang lebih memuaskan.

PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

Antara kekurangan lain yang ada pada XV baharu ini ialah ruang kargo yang hanya berkapasiti hanya 345 liter (+5 mm berbanding model lama), lebih kecil dari HR-V (437 liter). Kalau hendak lebihan ruang, kena baringkan semua tempat duduk belakang yang berkonfigurasi 60:40, tapi tidak boleh dibaringkan sepenuhnya. Juga tidak seperti HR-V yang ditampilkan dengan Ultra Seat yang lebih praktikal dan boleh dibaringkan secara rata. Walau bagaimana pun bukaan bagi ruang kargo telah dilebarkan sebanyak 100 mm bagi memudahkan urusan memasukkan/mengeluarkan muatan.

Seperti mana yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, XV 2018 dibangunkan dengan menggunakan senibina Subaru Global Platform, iaitu sama seperti Impreza baharu. Sekaligus menampilkan peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. Prestasi dinamiknya diserlahkan menerusi pengendalian pemanduan dan keselamatan. Inilah pertaruhan terbesar yang dilakukan oleh Subaru dalam mengolah XV menjadi sebuah SUV yang lebih berkredibiliti.

Malah ia juga telah dipertingkatkan ketegarannya sebanyak 70% dengan pusat graviti yang direndahkan dan daya olengan badannya juga dikurangkan sebanyak 50%.

PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

Untuk dimensi bagi XV serba baharu ini juga ada perbezaannya berbanding model sebelumnya. Di mana, ia berukuran 4,465 mm bagi panjang (+15 mm), selebar 1,800 mm (+20 mm) dan jarak rodanya pula 2,665 mm (+30 mm). Manakala ketinggiannya dikekalkan iaitu 1,615 mm. Jarak kelegaan tanahnya juga kekal iaitu 220 mm.

Sekaligus menjadikan XV lebih besar berbanding SUV yang berada di bawah segmen-B, tetapi masih kecil jika dibandingkan dengan SUV segmen-C seperti CX-5. Dengan jarak roda yang dipertingkatkan itu juga, memberikan jarak juntaian (overhang) yang lebih bersesuaian dengan sudut approach sehingga 18 darjah, dan sudut departure sehingga 29 darjah.

Untuk bahagian makanikalnya, ia turut diberikan enjin 2.0 liter Boxer naturally-aspirated empat-silinder susunan mendatar dengan kuasa 156 PS (lebih 6 PS dari unit port-injection pada model terdahulu) dan tork 196 Nm. Subaru berkata, enjin aluminium baharu ini telah dipertingkatkan (80% baharu) dan menampilkan suntikan-terus, memberikan kuasa dan tork memuncak lebih pantas masing-masing antara 6,000 rpm dan 4,000 rpm (kedua-duanya susut sebanyak 200 rpm).

Nisbah mampatan juga meningkat dari 10.5:1 menjadi 12.5:1. Ia membolehkan XV serba baharu ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 194 km/j. Manakala penggunaan bahan api kombinasi pula dianggarkan 7.3 liter bagi setiap 100 km.

PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

Tidak dinafikan, janaan kuasa yang diberikan ini memang lebih bertenaga, tangkas dan pantas memberikan lonjakan pacuan yang diingini. Biarpun lebihan PS tidak begitu banyak, tetapi sebenarnya ia ‘banyak’ memberikan perbedaan prestasi berbanding model terdahulu, malah melebihi ekspektasi. Lonjakan kuasanya terasa lebih lancar, juga hasil gabungan transmisi Lineartronic. Difahamkan enjin dan transmisi menyumbangan pengurangan berat sebanyak 20 kg, sekaligus memberikan nisbah yang lebih luas untuk meningkatkan penjimatan bahan api dan juga prestasi.

Apa yang membuatkan XV lebih unik ialah dengan bentangan enjinnya, yang kini diposisikan lebih rendah dan berada di tengah. Malah hanya beberapa model kereta di dunia yang memiliki simetri sebegini, dan ini membuatkan XV sangat cekap dan memiliki keseimbangan yang tinggi ketika dipandu. Dan dengan kelebihan ini, memang tidak dinafikan XV memiliki ‘rasa’ pengendalian yang lebih memuaskan berbanding kebanyakan SUV yang lain, malah terasa umpama mengendalikan sebuah jentera sedan.

Faktor mengapa XV terasa tangkas dan ringan (seberat 1,559 kg) adalah dengan adanya sistem kawalan Active Torque Vectoring (ATV) yang membantu mengurangkan risiko understeer dan ia tidak tidak aktif ketika jentera dibrek. Penulis yang sempat melenjan XV baharu ini selama beberapa hari termasuk melibatkan perjalanan jarak jauh dengan pemanduan kombinasi (lebuhraya dan jalan biasa) terasa bagaiman jatuh cinta dengan jentera ini. Bukan setakat prestasinya yang lebih baik berbanding model pesaingnya, paling utama keserasian dalam pengendalian. XV baharu ini bersifat mudah mesra dalam apa jua corak pengendalian.

PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

Di lebuhraya, ia tidak teragak-agak memuntahkan kuasa seperti yang dihajati, setakat nak memotong kenderaan lain, tekan lebih pedal pendikit, pasti melancarkan pacuan. Memandunya di kawasan urban juga tidak membosankan. Malah penulis sempat juga melenjannya di kawasan off-road ringan, ternyata sistem pacuan-semua roda yang digandingkan bersama X-Mode iaitu satu teknologi terkini yang ditampilkan cukup ‘ngam ho’.

Malah fungsi X-Mode (seperti yang ada pada model naik taraf Forester) juga merupakan daya penarik XV baharu ini. Apabila diaktifkan, ia dapat mengolah respon pendikit dan brek iaitu antara hingga 40 km/j, bagi memberikan daya tarikan (traction) yang lebih maksimum sewaktu mengendalikannya di laluan off-road.

Bila penulis mencuba X-Mode ini untuk merentasi laluan berbukit yang agak curam, ternyata ia sangat membantu jentera untuk bergerak dengan jayanya. Penulis yang kemudiannya mencuba ASX yang turut memiliki varian AWD mendapati model keluaran Mitsubishi ini tidak mampu mendaki laluan lasak dengan mudah, malah tersekat di pertengahan jalan dan terpaksa mengundur semula. Jadi XV memang sesuai untuk pemanduan urban, mahu pun dilenjan di laluan off-road. Cuma mungkin kalau hendak ke laluan off-road yang lebih ganas, kena fikir 2-3 kali. Bukan sebab tidak mempercayai kredibilitinya, tetapi sayang pulak SUV sehensem ini hendak dilenjan ikut nafsu.

Selain itu, penulis juga tidak melepaskan peluang mencuba fungsi Kawalan Menurun Bukit atau Hill Descent Control (dengan mengekalkan kelajuan apabila menuruni bukit antara 0-40 km/ dengan X-Mode masih diaktifkan), tetapi ia hanya boleh digunakan dalam kelajuan di bawah 20 km/j sahaja.

Olengan badan bagi XV baharu ini juga boleh dikatakan minimal dan banyak dipertingkatkan berbanding model terdahulu. Manakala sistem suspensi yang lebih sofistikated iaitu padanan Macpherson strut dan double wishbone banyak memberikan kestabilan, ketegaran dan kemantapan dalam pengendaliannya. Malah ia juga berupaya menyerap kesan sentakan dan olengan secara lebih optimum.

Cuma bagi pendapat penulis, masalah NVH (atau bunyi bising, getaran dan kekasaran) masih belum dapat diatasi dengan jayanya, waima Subaru memaklumkan ia telah dikurangkan sebanyak satu decibel hasil pemasangan enjin yang lebih ketat dan penggunaan penutup getah di sekelliling keempat-empat pintu untuk menyerap bunyi dari luar. Walau bagaimana pun, apabila jentera dipandu laju, desiran angin masih jelas kedengaran. Ditambah lagi dengan bunyi bising dari tayar (XV dipadankan dengan tayar Continental ContiMax MC5 sebagai standard) sedikit mengganggu keseronokan pemanduan.

Bagi elemen keselamatannya, ia juga dipertingkatkan dan kini XV baharu didatangkan dengan tujuh beg udara, Active Torque Vectoring, X-Mode, Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Menurun Bukit, selain mengekalkan ABS dengan EBD, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), kawalan cengkaman dan cagak ISOFIX.

Segala apa kelebihan yang ada pada XV baharu ini, sememangnya sedikit sebanyak mampu menutupi secebis kekurangannya. Dengan harga RM126k untuk varian tertinggi, XV baharu ini dilihat berbaloi untuk dimiliki jika anda mahukan sebuah SUV crossover yang berkarakteristik dan seronok untuk dikendalikan. Waima harganya sedikit tinggi berbanding model persaingnya dan ada yang mempersoalkan kenapa ia tidak didatangkan dengan teknologi EyeSight seperti mana pada pasaran negara lain. Subaru telah mengesahkan teknologi berkenaan akan diperkenalkan untuk XV pada suku kedua tahun hadapan.

Secara konklusi dan sejujurnya, olahan yang dilakukan terhadap XV baharu ini cukup kena pada percaturannya. Peningkatan bahagian mekanikal dan imej dalamannya dilihat mampu meledakkan lagi perhatian terhadap XV ini, waima penampilan luarannya tidak banyak perubahan ketara. Sesungguhnya kenyataan penulis ini tidak dibayar sama sekali dan tidak juga mahu membodek TC Subaru bagi mendapat diskaun lebih, jauh sekali unit percuma. Apa pun, pilihan terletak pada citarasa dan bajet anda!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required