Semalam telah tersebar satu gambar di laman Facebook Modenas Pulsar RS200, NS200, V15 Malaysia, yang dimuat naik oleh Zulkifli Nasir, menunjukkan motosikal Pulsar NS200 beliau terbakar secara tiba-tiba. Menurut post yang dibuat, beliau menyatakan masalah bermula dengan enjin mati, kemudiannya terdapat asap keluar dari bawah tempat duduk seterusnya keluar pula api dari kecil sehinggalah besar dan merebak ke seluruh motosikal.

Berikutan perkara itu, Modenas sendiri telah mengeluarkan kenyataan hari ini, dengan memberitahu memang berlaku litar pintas pada motosikal Pulsar NS200 milik Zulkifli. Walaubagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak Modenas dan kenyataan rasmi yang lebih tepat dan sahih akan dikeluarkan apabila siasatan selesai.

Modenas juga menyatakan pihak khidmat selepas jualan mereka mengambil serius perkara ini, dan telah memberikan sebuah motosikal Pulsar kepada Zulkifli untuk kegunaan sementara, sehingga siasatan penuh lengkap.