Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

Lexus Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model sedan flagship jenama itu, Lexus LS 2018 untuk pasaran tempatan. Pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1989, model LS yang ada kini adalah dari generasi kelimanya.

Model ini juga Januari lalu telah dibuka untuk tempahan. Terdapat tiga varian yang ditawarkan bagi model yang diimport sepenuhnya dari kilang pemasangan Lexus di Tahara, Jepun.

Yang dimaksudkan ialah varian LS Luxury, LS Executive dan LS Executive (Hybrid). Masing-masing dengan tanda harga bermula dari RM799,000, RM999,000 dan RM1,459,000 – semuanya harga atas jalan termasuk GST, tanpa insurans. Pelanggan juga mempunyai sehingga 11 warna luaran serta enam warna ruang dalaman sebagai pilihan, tertakluk kepada varian.

Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

Pertama kali dipertontonkan kepada umum ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Amerika Utara 2017 di Detroit, ia turut membawa sebahagian daripada sentuhan rekaan seperti yang pernah dilihat pada model konsep LF-FC sebelum itu.

Sama seperti model coupe LC 500, LS dibangun menggunakan platform GA-L (Global Architecture-Luxury) yang menjadi platform paling kukuh yang pernah dihasilkan sepanjang sejarah Lexus setakat ini – ia memberi kelebihan kepada dinamik kendalian, keselesaan serta kesenyapan dalam kabin. Ini merupakan platform yang direka serba baru dengan pendekatan yang juga baru terhadap aspek kejuruteraan, material serta beban struktur kenderaan ini yang terlibat.

Berbanding struktur dengan kebolehan yang sama menggunakan besi, teknologi ini memberi kelebihan 42% lebih ringan dibahagian depan. Bahagian belakangnya pula menggunakan aluminium dengan kekerasan yang 1.5 kali lebih baik berbanding besi biasa tetapi dengan 50% kurang berat. Struktur kereta ini juga turut menggunakan material high stensile steel sebanyak 30% bahagian yang terlibat.

Oleh kerana aluminium dan besi tidak boleh dicantum menggunakan pendekatan konvensional yang biasa, bahagian-bahagian yang berkaitan digabungkan menggunakan pendekatan self-piercing rivet dan pelekat/adhesif kekuatan tinggi yang khusus.

Lexus LS 2018 mempunyai dimensi seperti berikut; panjang keseluruhannya bertambah sebanyak 28 mm – kini dengan panjang keseluruhan 3.125 meter. Jarak antara rodanya juga menerima tambahan 35 mm berbanding model sebelumnya. Lebarnya ditambah kepada 1.9 meter, 25 mm lebih daripada sebelumnya dan rekaan bumbung pula direndahkan sebanyak 15 mm.

Aspek luaran, ia menampilkan rekaan spindle grille tiga dimensi yang diapit pula oleh unit utama dengan tiga-lampu, disertai ciri Bi-LED yang memberikan iluminasi yang lebih menonjol. Lampu isyaratnya pula hadir dengan kesan visual sequential untuk memberikan lebih gaya. Bahagian belakang pun menggunakan kombinasi lampu LED sepenuhnya, juga dengan lampu isyarat sequential.

Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

Lexus LS generasi kelima ini menyaksikan penggunaan enjin serba baru 3.5 liter V6 yang dibangunkan khusus untuknya. Ia dibina untuk memberikan kecekapan haba yang diperbaiki, digandakan pula dengan turbocharger berkembar yang datangnya dari teknologi perlumbaan F1 dan dimanfaatkan untuk kegunaan model ini. Wastegate elektrik mengawal desakan turbo dengan tepat, memberikan dorongan yang lancar dan lag-free.

Hasilnya, kuasa yang mampu dijana mampu menandingi enjin V8. Angka-angka output enjin ini sangat memberangsangkan; 415 hp dengan 600 Nm tork. Ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan enjin naturally-aspirated sebelum ini dengan kapasiti 4.6 liter V8. Melengkapinya ialah padanan sistem transmisi automatik 10-kelajuan yang sama digunakan pada model LC 500.

Menurut Ketua Jurutera Lexus LS, Toshio Asahi, langkah untuk menurunkan gred enjin yang digunakan dari versi V8 sebelum ini kepada versi V6 adalah disebabkan faktor alam sekitar. “Dengan enjin baru V6 ini, tahap pembebasan emisi yang lebih baik dapat dicapai, serta penggunaan minyak yang jauh lebih cekap. Paling utama, kuasa yang dihasilkan dapat menandingi enjin V8 sebelum ini,” ujar beliau.

Ruang dalaman pula merupakan satu “dunia” yang sama sekali berlainan daripada yang pernah kita lihat sebelum ini. Diinspirasikan oleh prinsip omotenashi, kabinnya memberikan suasana mewah pada tahap yang tersendiri.

Dengan sistem pencahayaan yang terperinci, rekaan kabinnya turut dilengkapi dengan kemasan corak kayu Art Wood/Organic dan Art Wood/Herringbone. Tempat duduknya menerima rekaan baru, dengan laras elektrik 28 cara untuk kerusi depan dan larasan 22 cara bagi kerusi belakang – ia menggabungkan penggunaan elektrik motor dan sistem kawalan pneumatic untuk menghasilkan pergerakan yang halus. Fungsi pemanas juga disediakan, pada dua bahagian; bahu dan bawah badan.

Selain itu, sebagai pilihan, kemasan hias dari kaca Kiriko (menelan kos tambahan RM98,000 termasuk cukai) dan perincian lipatan tangan manusia (yang memakan masa empat tahun untuk dihasilkan) pada bahagian pintu mencerminkan pendekatan inovatif dari kehalusan kraf tangan Jepun.

LS juga dilengkapi Remote Touch Interface generasi seterusnya yang direka untuk menyamai operasi telefon pintar dan menerima input tulisan tangan. Selain skrin tunjuk arah 12.3-inci, LS turut dilengkapi dengan head-ups display (HUD) bersaiz 24-inci.

Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

Disebabkan ia lebih rendah berbanding model sebelumnya, Lexus LS baru ini dilengkapi ciri suspensi udara yang boleh diaktifkan melalui kunci pintar. Ketika ingin masuk kenderaan, ketinggiannya akan dinaikkan sebanyak 30 mm untuk memudahkan urusan keluar-masuk.

Ciri audionya pula menggunakan sistemd dari Mark Levinson dengan kemampuan talaan kustom. Ia terdiri daripada 23 pembesar suara yang ditempatkan di 16 lokasi pada kenderaan ini. Sistem ini menggunakan teknologi Quantum Logic Immersion (QLI) Reference Surround Sound. Ia disokong juga oleh amplifier 16-saluran dengan kapasiti menyamai 2,400 watt. Bagi penumpang di belakang, skrin LCD 11.6-inci 720p ada tersedia.

Selain itu, model ini turut dilengkai dengan pelbagai sistem keselamatan termaju. Sebagai contoh, Lexus Safety System+ yang merangkumi antara lain ciri-ciri seperti sistem pra-perlanggaran, Lane Departure Alert, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist dan lain-lain. Ia juga datang dengan 12 beg udara SRS. Untuk keselamatan pejalan kaki, sensor khas turut ditempatkan dibahagian depan kereta ini sebagai pengesan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Lexus LS 2018 ini, layari juga laman CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required