Barisan motosikal premium BMW Motorrad kini boleh didapati di Seremban premis wakil pengedarnya, Millennium Welt yang kini telah dibuka secara rasmi. Ini merupakan bilik pameran BMW Motorrad yang pertama di Negeri Sembilan.

Terletak di Jalan Tun Dr. Ismail, Seremban, bilik pameran berkenaan mempunyai ruang pameran yang mampu menampung sehingga 10 unit motosikal, dan merupakan pengedar BMW Motorrad yang ke-11 di seluruh Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Millennium Welt, Bryan Wong, kerjasama dan hubungan baik pihaknya dengan jenama BMW dan MINI sejak dulu membuka ruang baru bagi perkembangan bersama BMW Motorrad. “Kami menjadi wakil penjual jenama-jenama ini di Seremban, serta di Batu Pahat dan Kuantan. Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk menjadi pengedar bagi jentera dua roda BMW pula,” ujar beliau.

Bagi Ketua BMW Motorrad Malaysia, Owen Riley, perkembangan ini merupakan peluang terbaik untuk meluaskan pengaruh jenama berkenaan. “2017 ialah tahun kami memecahkan rekod bagi BMW Motorrad di Malaysia.

“Selain angka jualan yang memberangsangkan, kami juga menambah lima model motosikal premium
terbaru ke dalam portfolio sedia ada. Kami berharap untuk meneruskan perkembangan positif ini pada tahun 2018, bermula dengan pembukaan pengedar terbaharu, Millennium BMW Motorrad di Negeri Sembilan,” jelasnya.

Tahun lalu, jualan semua model BMW Motorrad telah meningkat sebanyak 13.2% di serata dunia, dengan jumlah 164,153 unit terjual. Di Malaysia sahaja, 1,052 unit motosikal berjaya dijual, mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya.