BMW Motorrad Malaysia sebelum ini mengumumkan penjualan barisan jentera terbaru bagi siri BMW R nineT, yang kini turut ditawarkan di dalam dua varian tambahan; Pure serta Racer. Dan, ketika acara BMW Motorrad Nightfuel 2017 yang berlangsung di Jalan Riong Bangsar baru-baru ini, ketiga-tiga model berkenaan diperkenalkan secara rasmi kepada khalayak.

BMW R nineT menampilkan sejarah perjalanan BMW Motorrad yang merentasi tempoh selama lebih 90 tahun. Ia hadir dengan imej tunggangan yang unik bersama reka bentuk klasik, minimalis dan fokus terperinci terhadap aspek teknikal.

BMW R nineT Pure merupakan sebuah roaster sejati, manakala BMW R nineT Racer pula adalah sebuah jentera sport klasik dan old school dengan fairing separuh, mencerminkan konsep rekaan yang cukup popular sekitar tahun 1960 dan 1970-an. Ia terus membangkitkan nostalgia dalam kalangan peminatnya.

Model-model BMW Heritage dikuasakan oleh enjin boxer dengan sistem penyejukan udara/cecair berkapasiti 1,170cc yang penuh kuasa. Enjin yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan itu mampu menjana kuasa mencecah 110hp dan tork maksimum 116Nm; ia menepati piawaian Euro 4.

Semua varian bagi BMW R nineT ini juga didatangkan dengan ciri-ciri seperti pemetaan enjin baru serta sistem bahan api bersama tabung karbon bagi tujuan pengudaraan tangki minyak. Tidak terkecuali, sistem ekzos dengan catalytic converter yang mempunyai bahagian silang lebih besar.

BMW R nineT dijual pada harga RM101,900.00, sementara BMW R nineT Pure dan BMW R nineT Racer pula masing-masing dijual pada harga RM82,900.00 dan RM88,900.00 – termasuk GST.