Uber matikan sistem pengelak pelanggaran pada Volvo XC90 ketika kemalangan maut di Arizona berlaku

Uber matikan sistem pengelak pelanggaran pada Volvo XC90 ketika kemalangan maut di Arizona berlaku

Bagi mengelakkan salah faham berlaku mengapa sistem pengelak pelanggaran pada Volvo XC90 pemanduan sendiri milik Uber yang terlibat dalam kemalangan maut di Arizona minggu lalu, pembekal radar dan kamera sistem berkenaan iaitu Aptiv (sebelum ini dikenali sebagai Delphi Automotive) menjelaskan bahawa syarikat aplikasi perkongsian kenderaan itu telah mematikan sistem bantuan pemanduan tersebut dalam ujian kereta tanpa pemandu yang dijalankan, menurut laporan Bloomberg.

“Kami tidak mahu masyarakat keliru atau beranggapan telah berlaku kegagalan pada teknologi yang kami bekalkan kepada Volvo, kerana itu bukannya kes sebenar,” kata jurucakap Aptiv, Zach Peterson. Peterson mengesahkan bahawa sistem bantuan pemanduan standard SUV Volvo berkenaan “tidak ada kena mengena” dengan sistem pemanduan sendiri dari Uber.

Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di Tempe, Arizona, Amerika Syarikat minggu lalu, Elaine Herzberg, wanita berumur 49 tahun maut dirempuh Volvo XC90 pemanduan sendiri (masih mempunyai seorang pemandu sandaran di tempat duduk pemandu) milik Uber yang sedang diuji ketika melintas sebatang jalan yang gelap.

Selepas berlakunya insiden tersebut, Uber menghentikan kesemua ujian terhadap kereta tanpa pemandunya di seluruh Amerika Utara, manakala gabenor Arizona, Doug Ducey menggantung kelayakan Uber untuk melakukan ujian sedemikian di jalan raya awam negeri berkenaan.

Namun buat masa sekarang Uber masih lagi berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengesahkan sama ada mereka benar-benar mematikan sistem bantuan pemanduan tersebut. Manakala jurucakap Volvo pula berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut dan masih menunggu hasil siasatan penuh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional dan juga Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA).

Dalam masa yang sama, pembekal cip dan penderia kepada Aptiv iaitu Mobileye (anak syarikat Intel) telah pun menguji menggunakan perisian mereka terhadap video rakaman kejadian tersebut. Menurut syarikat itu, sistem berkenaan mampu mengesan mangsa (Herzberg) satu saat sebelum berlakunya impak menerusi video yang dimainkan pada monitor televisyen.

“Video yang disiarkan oleh polis berkenaan nampaknya telah menunjukkan bahawa batu asas kepada sistem kenderaan pemanduan sendiri, iaitu keupayaan mengesan dan mengelaskan objek, merupakan tugas yang mencabar. Ia merupakan teknologi yang sama diperlukan, sebelum menggalas cabaran yang lebih getir, sebagai elemen asas untuk kereta tanpa pemandu sepenuhnya pada masa hadapan,” kata CEO Mobileye, Amnon Shashua dalam kenyataan yang disiarkan pada laman web Intel.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required