Audi A6 C8 yang baru diperkenalkan Februari lalu kini ditambah dengan versi wagon. Digelar sebagai Audi A6 Avant, model baru ini menyediakan ruang kargo 1,680 liter (bila tempat duduk dilipat rata), dan mempunyai dimensi 4,940 mm, 1,890 mm lebar dan 1,470 mm tinggi – lebih besar berbanding sebelum ini. Dengan semua kerusi tegak, ruang barangan yang disediakan adalah 565 liter.
Pintu but dan penutup tempat meletak barangan di belakang boleh dibuka secara elektrik (standard), tetapi sensor pengawal juga ada ditawarkan. Bahagian lantai meletak barangan itu pula mempunyai sistem rel dengan beberapa tapak untuk mengikat barang. Turut diberi secara standard adalah jaring getah, tali boleh lentur dan dua cangkuk, manakala kelengkapan lain untuk mengikat barangan ditawarkan sebagai pilihan tambahan.
Pakej enjin untuk model wagon ini masih sama dengan model sedan, iaitu pilihan dua enjin V6 3.0 liter bersama sistem AWD quattro. Enjin petrol TFSI menawarkan kuasa 335 hp dan 500 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan S-Tronic manakala enjin diesel TDI dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, menghasilkan kuasa sehingga 282 hp dan 620 Nm tork.
Kedua-dua enjin ini dilengkapi dengan sistem hibrid ringkas 48 V, di mana belt alternator starter (BAS) bekerjasama dengan bateri lithium ion untuk membenarkan kereta meluncur pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j. Kereta ini juga mempunyai fungsi start/stop yang boleh aktif pada kelajuan sehingga 22 km/j. Pemilik juga boleh mendapatkan differential aktif yang boleh mengagihkan kuasa pada roda belakang mengikut cengkaman yang diperlukan.
Menurut Audi, A6 baru ini menawarkan keseimbangan dinamik dan keselesaan lebih baik berbanding sebelum ini. Terdapat stereng progresif dan stereng semua roda dinamik (sebagai pilihan tambahan) – pada kelajuan sehingga 60 km/j, stereng dinamik tersebut boleh membelokkan roda belakang sehingga lima darjah ke arah bertentangan. Ini dapat mengurangkan sudut belokan wagon yang besar ini sehingga satu meter. Pada kelajuan atas 60 km/j, kedua-dua gandar menghala ke arah sama supaya lebih stabil dan lincah.
Untuk bahagian suspensi, pelanggan boleh memilih empat tetapan iaitu hidraulik biasa dengan spring besi, sports, penyerap kawalan elektrik ataupun suspensi udara adaptif. Sebagai tambahan kepada penyerap biasa dan udara ini, Audi turut menyediakan platform casis elektronik (ECP) yang boleh mengawal pengemudian semua roda dan differential sport. Mod pemanduan ada tiga – Comfort, Auto dan Dynamic.
Untuk model wagon ini, Audi menyediakan pelbagai sistem bantuan pemandu, yang dibahagikan kepada pakej “City” dan “Tour”. Selain bantuan brek kecemasan, pakej ini juga termasuk adaptive cruise assist, yang boleh digunakan pada kelajuan sehingga 250 km/j, dan juga di dalam trafik yang kerap berhenti dan bergerak.
Meningkatkan lagi ciri keselamatannya, Audi A6 Avant dilengkapi dengan sistem bantuan kecemasan yang dapat memberikan amaran visual dan akustik sekiranya bahaya dikesan. Jika pemandu tidak memberi tindak balas, sistem ini akan mengambil alih dan boleh memberhentikan kenderaan sepenuhnya jika perlu. Turut diaktifkan adalah perlindungan lain seperti ketegangan tali pinggang, penutup tingkap dan membuat panggilan kecemasan sendiri.
Dalam trafik bandar, lima fungsi dapat menyokong kenderaan ini. Crossing Assist mengesan trafik yang melintas di depan kenderaan, Audi Pre Sense 360° mengesan bahaya perlanggaran dan Rear Cross Traffic Assist memerhati bahagian belakang apabila mengundur. Ia kemudiannya diperlengkap bersama Exit Warning dan Lane Change Warning. Data untuk sistem ini diperolehi daripada sehingga lima pengesar radar, lima kamera, 12 pengesan ultrasonik dan pengimbas laser.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.