Model generasi kelapan (C8) Audi A6 didedahkan secara rasmi hari ini dengan rekaan serba baru dan pelbagai teknologi maju yang diambil daripada model lebih besar seperti A8 dan A7 Sportback. A6 ini dijangka mula keluar daripada kilang Audi di Neckarsulm dan dilancarkan di Jerman pada bulan Jun tahun ini.

Pandang sekali imbas, ia mungkin kelihatan seperti A8, tetapi sebenarnya terdapat beberapa bahagian yang dapat membezakan dua model ini. Pertamanya, walaupun gril Singleframe yang lebar dan rendah hampir sama, lampu utamanya pula dibentuk supaya lebih menyerupai A4 B9. Audi menawarkan tiga pilihan sistem lampu, dengan yang paling tinggi adalah sistem Matrix LED.

Bahagian lain yang berbeza adalah bampar hadapan yang lebih agresif, dengan bukaan udara di bucu lebih besar, yang merupakan sebahagian daripada barangan tambahan dalam pakej S Line. Di bahagian belakang, lampunya disambung di bahagian tengah dengan jalur krom, sama seperti A8 tetapi tiada lampu LED di atasnya. Grafik di dalam lampu itu adalah baru.

A6 baru ini mempunyai dimensi 4,939 mm panjang, dan jika dibandingkan dengan model sebelum ini, ia adalah 7 mm lebih panjang. Lebarnya pula adalah lebih 12 mm, menjadi 1,886 mm, manakala tinggi pula meningkat 2 mm menjadi 1,457 mm. Jarak roda juga bertambah 12 mm menjadi 2,924 mm.

Menurut Audi, perubahan dimensi ini membantu menjadikan ruang dalam A6 ini lebih luas, dengan menawarkan lebih ruang kaki, kepala dan bahu berbanding sebelum ini. Ruang barangan di belakang walaubagaimanapun tidak berubah, iaitu 530 liter tetapi bukaan untuk memasukkan barang lebih lebar.

Untuk bahagian dalam, kebanyakannya mengambil rekaan daripada A7 Sportback, dengan terdapat beberapa skrin paparan. Untuk pemandu, di hadapan terdapat kokpit virtual 12.3 inci, dan mereka boleh mengubah informasi yang mahu dipaparkan. Turut boleh didapati adalah head-up display.

Di bahagian tengah papan pemuka terdapat dua skrin sesentuh yang boleh memberikan akses kepada sistem kenderaan. Unit di atas yang bersaiz 10.1 inci boleh digunakan untuk sistem informasi dan hiburan MMI Mavigation Plus (standard adalah MMI Navigation), manakala unit di bawah bersaiz 8.6 inci mengawal pendingin hawa, fungsi kemudahan lain serta input teks.

Pembeli juga boleh memilih dua pakej lampu bahagian dalam iaitu pakej lampu suasana yang boleh menghasilkan pencahayaan pada papan pemuka, “menjadikannya seperti terapung”, manakala satu lagi pakej iaitu contour menyediakan lebih 30 pilihan warna pencahayaan.

Senarai kelengkapan pada A6 baru ini juga meliputi pelbagai sistem bantuan pemandu termasuk parking pilot dan garage pilot yang boleh mengendalikan kenderaan secara sendiri apabila keluar daripada petak letak kereta atau garaj. Ini adalah sebahagian daripada pakej Park Assist, iaitu satu daripada tiga pakej yang ditawarkan. Dua lagi pakej adalah City dan Tour.

Pakej Tour Assist pula datang dengan Adaptive Cruise Assist, yang melengkapi Adaptive Cruise Control dengan teknologi lane-keeping. Sistem ini dikawal oleh satu pengawal zFAS, dan bergantung kepada barangannya, satu set pengesan yang lengkap boleh mempunyai sehingga lima pengesan radar, lima kamera, 12 pengesan ultrasonik dan pengimbas laser.

Pada bahagian mekanikal, Audi menawarkan dua pilihan enjin untuk A6 ini, iaitu satu diesel dan satu petrol – kedua-duanya datang dengan sistem pacuan semua roda Quattro secara standard. Bagi yang petrol, ia adalah unit 3.0 liter TFSI V6, dengan kuasa 335 hp dan 500 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik S-Tronic tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j mampu dilakukan dalam masa 5.1 saat dan laju maksimum pula adalah 250 km/j.

Unit diesel pula adalah 3.0 liter TDI V6 yang boleh menghasilkan sehingga 282 hp dan 620 Nm tork, apabila dipadankan bersama kotak gear automatik tiptronic lapan kelajuan. Semua enjin ini menampilkan teknologi hibrid ringkas 48V, di mana belt alternator starter (BAS) bekerjasama dengan bateri lithium ion untuk membenarkan kereta meluncur pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j.

Kereta ini juga mempunyai fungsi start/stop yang boleh aktif pada kelajuan sehingga 22 km/j, dan enjin dihidupkan waktu mula bergerak apabila kenderaan hadapan dikesan sudah mula bergerak. Semasa memperlahankan kenderaan, sistem BAS dapat mengambil semula kuasa sehingga 12 kW dan ia dikatakan dapat membantu penjimatan minyak sehingga 0.7 l/100 km.

Untuk bahagian suspensi, pelanggan boleh memilih empat tetapan iaitu hidraulik biasa dengan spring besi, sports, penyerap kawalan elektrik ataupun suspensi udara adaptif. Terdapat juga sistem all-wheel steering untuk pengendalian lebih baik dan bergantung kepada kelajuan, nisbah pusingan boleh jadi antara 9.5:1 dan 16.5:1.