Menurut agensi berita Kyodo, Toyota kini sedang merancang untuk membina sebuah kilang bateri hibrid di Thailand, dan dijangka beroperasi pada tahun 2020. Keputusan ini dibuat kerana jumlah kenderaan yang menggunakan kuasa bateri dijangka meningkat di sana dengan adanya tafsiran cukai yang lebih mesra.

Jualan di Thailand juga akan menjadi penyumbang kepada sasaran Toyota untuk menjual sebanyak 4.5 juta kenderaan hibrid dan plug-in hybrid (PHEV) menjelang tahun 2030. Bagi kilang di Thailand ini, ia hanya akan melakukan pemasangan untuk bateri tersebut sementara komponen utama untuk bateri masih lagi diimport.

Langkah yang diambil oleh Toyota ini mengikuti langkah hampir sama yang dilakukan oleh Mercedes-Benz bulan lalu, di mana pengeluar kenderaan premium tersebut mengumumkan akan melabur lebih 100 juta euro (RM483 juta) untuk kilang di Thailand yang dibuka di Thailand dengan rakan kongsinya, Thonburi Automotive Assembly Plant.

Pelaburan ini akan diguna untuk membesarkan lagi kilang pemasangan kenderaan yang sudah sedia ada di Samut Prakan, dan juga untuk membuka sebuah kilang pemasangan bateri hibrid baru di kawasan tersebut. Pengeluaran bateri lithium ion di situ akan bermula pada tahun 2019, untuk kenderaan PHEV yang dipasarkan di sana.

Sejak kebelakangan ini, Thailand telah meletakkan banyak usaha untuk menarik pengeluar kenderaan untuk mengeluarkan kenderaan mesra alam seperti hibrid, PHEV dan EV di negara mereka, dan BMW juga seperti berminat untuk melakukan perkara sama. Tahun lepas, kerajaan Thailand juga telah mengumumkan hak istimewa promosi untuk pengeluar kenderaan. Toyota adalah yang pertama menerimanya bagi kategori hibrid, melalui C-HR Hybrid.