Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

Pelanggan di Malaysia mungkin merungut mengapa Toyota C-HR begitu lambat masuk ke pasaran tempatan. Namun tahukah anda C-HR juga sebenarnya belum lagi dilancarkan di Thailand walaupun negara berkenaan merupakan hab produksi crossover segmen-B ini untuk rantau ASEAN?

Di Thailand, model ini akan mula dijual bermula suku pertama tahun hadapan dan tempahannya sudahpun mula dibuka. Pelanggan di negara tersebut akan menerima dua pilihan janakuasa iaitu 1.8 liter NA dan juga versi hibrid yang juga digandingkan dengan enjin petrol 1.8 liter.

Untuk model 1.8 liter Dual VVT-i, ia dibekalkan dengan 141 hp/177 Nm dan kuasa berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT. Seperti juga model lain di Thailand, enjin berkenaan turut boleh beroperasi dengan bahan api ‘flex fuel’ ethanol E85.

Bagi model hibrid pula, ia menggabungkan enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter berkuasa 98 hp/142 Nm bersama motor elektrik berkuasa 72 hp/163 Nm – menurut Toyota, kuasa gabungan untuk unit janakuasa ini adalah 122 hp. Motor elektrik versi hibrid ini dijana oleh bateri Ni-MH, manakala penggunaan bahan api nya pula di dakwa pada 24.4 km/l serta emisi CO2 pula berada pada 95 g/km.

Walaupun teknologi hibrid Toyota ini berada pada tahap matang, jenama berkenaan masih lagi memberikan waranti 5-tahun untuk sistem berkenaan serta 10-tahun waranti untuk bateri hibrid bagi memberikan ketenangan minda pada pemiliknya.

C-HR pasaran Thailand juga diberikan pakej keselamatan Toyota Safety Sense yang terdiri dari Sistem Pra-Pelanggaran (amaran dan brek kecemasan automatik, Amaran Keluar Lorong dengan bantuan stereng, Dynamic Radar Cruise Control dan juga Lampu Tinggi Automatik.

Pelanggan di negara berkenaan juga menerima sistem telematik T-Connect yang memberikan fungsi seperti WiFi, pengesan kenderaan, bantuan SOS 24-jam bersama servis operator serta navigasi. Perincian berkenaan teknologi hibrid, kelebihan platform TNGA serta operasi Toyota Safety Sense dan T-Connect boleh anda tonton pada video di bawah.

Model 1.8L akan dikelaskan sebagai varian asas dan pertengahan, manakala model hibrid pula akan dihasilkan dalam varian pertengahan dan varian tertinggi. Model asas 1.8L akan dijual bermula 9XX,XXX baht dan dilengkapi ciri seperti lampu hadapan halogen projektor automatik, lampu belakang LED, rim aloi 17-inci, tempat duduk fabrik hitam, audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci (USB, AUX, Bluetooth) dan juga tujuh-beg udara (hadapan, sisi, tirai, dan lutut pemandu).

Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

Untuk model 1.8L varian pertengahan pula, kesemua ciri tadi turut diberikan bersama tambahan lampu kabus, upholsteri kulit dan juga sistem kunci pintar lengkap dengan butang penghidup enjin – dijual pada harga 1,0XX,000 baht. Bagi model pertengahan hibrid pula, ia masih seperti model 1.8L pertengahan, namun diberikan tambahan lampu hadapan LED penuh serta sistem T-Connect, dijual pada harga 1,0XX,000 baht.

Manakala untuk varian tertinggi hibrid, ia akan dijual pada harga 1,1XX,000 baht, diberikan kesemua ciri serta ditambah dengan sistem navigasi serta pakej Toyota Safety Sense.

Pembeli C-HR untuk pasaran Thai juga tidak perlu untuk kedai aksesori untuk mendapatkan emblem nama custom seperti “AZARUDDIN & SHAFARINA” kerana Toyota Thailand menyediakan plat nama tersebut secara percuma dari sekarang hingga akhir Februari 2018, dan ia pastinya aksesori asli dari Toyota sendiri.

Enam warna badan disediakan di dalam brosur, dan tiga daripadanya (biru, merah dan hijau) merupakan warna cerah yang gabungkan bersama kontras hitam pada bumbung.

Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

Malaysia juga bakal menerima Toyota CH-R pada tahun hadapan, dan kemunculan umum terakhir crossover tersebut dibuat oleh UMW Toyota pada bulan lalu. Kita turut akan menerima CH-R yang dipasang di Thailand, dengan model yang dijana enjin 1.8L 2ZR-FE berkuasa 137 PS/170 Nm, tanpa pilihan sistem hibrid.

Selain itu, CH-R pasaran Malaysia juga turut akan diberikan lampu projektor halogen, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 17-inci, lampu kabus hadapan dan belakang, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu puddle, upholsteri kulit, tempat duduk manual bersama larasan lumbar berkuasa, lampu dan pengelap cermin automatik, paparan pelbagai info berwarna 4.2-inci, pendingin hawa dua-zon, cermin pandang belakang anti-silau dan juga kemera undur – kesemua ini mirip model 1.8L pertengahan di Thai.

Oleh itu, pasaran Malaysia tidak akan diberikan pilihan sistem Toyota Safety Sense, tetapi ia tetap diberikan fungsi keselamatan aktif lain seperti Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang. Ciri keselamatan lain termasuk tujuh beg-udara dan VSC. Model pasaran Malaysia ini dijangka akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM145,500.





GALERI: Toyota C-HR spesifikasi Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required