Susulan kepada pengambil alihan majoriti kepentingan di dalam Naza Automotive Manufacturing (NAM) oleh PSA Group, syarikat Perancis itu telah melantik Laurence Noël sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) untuk usaha sama dengan NAM di Malaysia. Beliau juga akan menyandang jawatan Naib Presiden Kanan, Operasi ASEAN untuk kumpulan itu.

Laurence pertama kali menyertai PSA Group pada 1995, dan memegang jawatan terakhir sebagai di bahagian projek powertrain. Pada 2014, beliau diberi tanggungjawab untuk mengetuai jabatan Powertrain, Platform and Module Programmes bagi PSA Group.

Jawatan terbaru ini nanti, yang akan memerlukan beliau bertugas di Kuala Lumpur, beliau bertanggungjawab untuk mempercepat pembangunan syarikat itu di Asia Tenggara, seperti yang diumumkan dalam pelan “Push to Pass” pada 2016. Ini termasuk mengeluarkan dan memasarkan kenderaan Peugeot, Citroen dan DS Automobiles di Malaysia dan pasaran ASEAN yang lain.

Seperti dilaporkan sebelum ini, pelaburan PSA di NAM akan menyaksikan pelaksanaan pemasangan platform modeular EMP2 untuk kenderaan segmen C dan D. Model pertama yang akan dipasang di Gurun, Kedah itu tahun ini ialah Peugeot 3008 (ketika ini dijual sebagai unit CBU) serta Citroen C5 Aircross pada 2019.

Kilang NAM telah beroperasi sejak 2004 dan mempunyai kapasiti 50,000 unit setahun, dengan tenaga kerja seramai 450 orang. NAM dijangka akan menjadi hab eksport bagi PSA di rantau ini, dengan sasaran pengeluaran 18,000 unit pada 2019 dan 21,000 unit pada 2020.