Australia telah menerima kehadiran Volvo XC40 di pasaran mereka, dengan penawaran dua varian bagi SUV kompak ini iaiti D4 diesel dan T5 petrol, bersama kekemasan Momentum dan R-Design. Malah turut ditawarkan versi edisi terhad Launch Edition, yang didatangkan dengan kit tambahan. Harga bermula dari AUD47,990 (RM142,216) sehingga AUD59,740 (RM177,036), menurut CarAdvice.

Kedua-duanya dipadankan dengan enjin pengecas turbo empat-silinder dengan transmisi automatik lapan-kelajuan AW TG-81SC serta pacuan semua-roda secara standard. Bagi T5, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp dan tork 350 Nm, manakala D4 pula sekitar 190 hp dan 400 Nm.

Elemen standard bagi Momentum termasuklah roda aloi 18-inci, lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang “Thor’s Hammer”, upholstery fabrik, tempat duduk pemandu berkuasa dengan sokongan belakang, kluster instrumen digital 12.3-inci, sistem audio lapan-pembesar suara, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Sensus bersama Apple CarPlay dan Android Auto Support, serta pengecas telefon tanpa wayar.

Manakala R-Design pula dilengkapi gaya yang lebih menarik, ditambah pula dengan padanan gril hitam berkilat, paip ekzos berkembar, roda aloi hitam potongan-berlian 20-inci, dua tona cat, lencana R-Design, tekstil R-Design Nubuck dan upholstery kulit Nappa dengan headliner hitam, casis sport, roda stereng R-Design dengan pedal penukar gear dan tuil gear R-Design.

Elemen tambahan untuk R-Design termasuklah tempat duduk hadapan larasan kuasa, Active Bending Light, kemasukan tanpa kunci, tailgate berkuasa dengan fungsi bukaan pergerakan dan sistem pencahayaan ambien dalaman yang dipertingkatkan.

Secara keseluruhannya terdapat empat varian; T5 Momentum, T5 R-Design, D4 Momentum dan D4 R-Design, dengan versi Launch Edition ditawarkan dengan unit terhad bagi setiap satu daripadanya. Untuk Momentum Launch Edition, ia ditawarkan dengan bumbung matahari, lampu utama LED dengan Active Bening Light, kawalan kelajuan adaptif dengan Pilot Assist, sistem bunyi Harman Kadron dan tempat duduk hadapan dengan fungsi haba.

Senarai kit lain termasuk roda aloi potongan-berlian lima-jejari 19-inci, kamera 360-darjah, kusyen tambahan untuk tempat duduk hadapan, Park Assist Pilot, kemasukan tanpa kunci, tailgate berkuasa, larasan elektronik bagi tempat duduk hadapan dan upholstery kulit.

Manakala untuk R-Design Launch Edition pula, turut menerima bumbung matahari, tempat duduk hadapan dengan fungsi haba, kawalan kelajuan adaptif dengan Pilot Assist, Park Pilot Assist, sistem camera 360-darjah dan sistem bunyi Harman Kardon. Sesetengah daripada elemen ini juga dijadikan pilihan untuk standard bukan Launch Edition XC40.