TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

Kita boleh meyaksikan sendiri motosikal berbentuk retro kini semakin kembali mendapat perhatian dalam kalangan penggemar motosikal. Dalam kategori ini, ada yang masih menggunakan teknologi dan rekaan sama sejak beberapa tahun atau mungkin berpuluh tahun seperti Royal Enfield, dan ada yang menggunakan teknologi moden. Apapun, keduanya masih berkongsi satu ciri sama, iaitu penampilan retro.

Antara yang baru muncul dan hangat diperkatakan sekarang adalah Kawasaki Z900RS. Ia sudah pun tiba di pasaran Malaysia sejak bulan Februari lepas, dengan harga RM67,900 bagi versi standard, iaitu yang berwarna hijau gelap matte, dan RM69,900 untuk versi SE yang berwarna oren. Model ini juga diimport terus dari Jepun, dan menjelaskan sebab harganya sebegitu.

Bagi saya, jika anda mahu mendapatkan Z900RS ini, model SE adalah model yang perlu dipilih, kerana itu adalah warna yang sama seperti Kawasaki Z1 tahun 70-an dulu, iaitu model yang dijadikan sebagai inspirasi untuk rekaan Z900RS ini. Bukan setakat itu, kemasan warna ini juga cukup menarik, dengan warna coklat gelap tersebut menggunakan kemasan metalik berkilau dan serasi dengan jalur oren yang ada.

Selain warna, perbezaan lain di antara model SE dan model standard ini tidak banyak, melainkan kemasan akhirnya. Model standard menggunakan ekzos krom yang tidak berkilat, bersama rim serba hitam, manakala model SE menggunakan ekzos krom berkilat, serta rim yang juga mempunyai jalur krom.

TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

Banyak sebenarnya yang boleh dikatakan tentang penampilan Z900RS. Ini kerana pereka dan jurutera Kawasaki berusaha keras untuk membawa sebanyak mungkin inspirasi gaya daripada model Z1. Anda boleh lihat kesinambungan dan pengaruh ini hampir pada keseluruhan motosikal dan ia adalah satu gaya yang mudah diterima.

Paling saya gemari sebenarnya adalah bahagian panel belakang, yang turut menempatkan lampu brek belakang yang kecil, kerana ia mempunyai alunan seperti muncung itik. Bahagian lampu dan meter, walaupun masih mempunyai bentuk bulat klasik, ia cukup menarik untuk dilihat kerana diterapkan dengan tenologi moden iaitu unit LED bagi lampu utama, manakala pada bahagian meter, di tengah dua jarum analog tersebut terdapat paparan LCD yang lengkap.

Semakin lama anda melihat motosikal ini, dan sekiranya anda tahu apa yang cuba disampaikan oleh Kawasaki, anda akan lebih menghargainya, Sebagai contoh, demi menjadikan motosikal ini lebih praktikal, rim lidi seperi model Z1 tidak boleh digunakan, dan diganti dengan rim sports supaya dapat menggunakan tayar tubeless. Walaubagaimanapun, Kawasaki telah menghasilkan jejari yang halus supaya apabila dilihat dari tepi, ia kelihatan seakan rim lidi.

Sekiranya ada yang tertanya kenapa Kawasaki tidak menggunakan rekaan ekzos berkembar di kiri kanan seperti Z1 pada Z900RS, mereka menjawab ia dilakukan demi mendapatkan pembahagian berat serta ciri pengendalian yang baik. Ekzos berkembar seperti model lama itu juga agak berat.

Jika anda sedar juga, sebelum ini saya sudah menulis tentang Z900RS, iaitu setelah berpeluang mengujinya dalam satu sesi ringkas dalam masa satu jam di sekitar Putrajaya. Sejujurnya pada waktu itu, saya rasakan tiada apa keistimewaan pada Z900RS ini. Memang ia mudah dibawa, tapi seperti tiada apa-apa yang boleh dimegahkan.

Tapi untuk laporan kali ini, ia adalah berdasarkan pengalaman saya menggunakan Z900RS selama lebih kurang seminggu, dan secara ringkas, saya boleh katakan pandangan saya berubah banyak dan kini saya amat menggemari dan boleh membayangkan memilikinya untuk jangka masa panjang. Itupun kalau saya ada RM70,000 untuk membeli sebuah motosikal.

Bagaimana pandangan saya boleh berubah begitu banyak? Sudah tentu, sesi di Putrajaya itu cuma satu sesi pendek tidak sampai satu jam dengan kelajuan santai makan angin, manakala untuk yang terbaru ini, saya berpeluang menggunakannya seperti motosikal sendiri, dalam pelbagai keadaan selama satu minggu.

Bermula dengan kedudukannya. Tiba di waktu ini, jika anda sudah membaca laporan saya sebelum ini, anda pastinya sudah tahu Z900RS ini sebenarnya mempunyai asas yang sama dengan model naked Z900. Walaupun begitu, banyak pelarasan dan perubahan kecil yang dibuat bagi mendapatkan karekter yang bersesuaian untuk Z900RS ini.

Unit enjin empat silinder sebaris 948 cc DOHC berpenyejukan cecair yang sama seperti Z900 digunakan pada Z900RS, tetapi kuasanya dikurangkan sebanyak 14 PS, menjadi 111 PS tetapi puncaknya dapat sampai lebih awal iaitu pada kadar 8,500 rpm (Z900 menghasilkan 125 PS pada 9,500 rpm). Untuk tork pula, ia hanya kekurangan 0.1 Nm dan juga dapat dinikmati lebih awal pada 6,500 rpm (Z900 98.6 Nm pada 7,700 rpm). Transmisi adalah unit enam kelajuan.

TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

Jadi, bagaimana rasa tunggangannya? Sangat mudah, sehinggakan saya merasa jika anda seorang yang baru mahu mula menunggang motosikal berkuasa tinggi, ataupun seorang wanita, anda tidak perlu takut untuk memiliki Z900RS.

Cuma satu perkara yang perlu diambil kira, tempat duduk standard berketinggian 800 mm pada Z900RS ini sudahpun merupakan pilihan tempat duduk rendah, dan tiada lagi pilihan yang lebih rendah daripada itu. Satu lagi pilihan yang disediakan oleh Kawasaki Malaysia adalah tempat duduk yang lebih tinggi.

Bagi saya yang berketinggian sekitar 180 sm, ia rasa sangat padan, dan juga mungkin masih selesa bagi mereka yang sedikit lebih rendah daripada saya. Pemegang yang lebar pada motosikal ini memberikan lebih keyakinan apabila mengendalikannya, namun apa yang lebih memudahkan adalah rasa pembahagian berat yang sekata pada motosikal. Bagi saya, beratnya tidak terasa lebih kepada bahagian bawah ataupun atas.

Sebelum ini, saya pernah menguji satu lagi model Kawasaki yang berbentuk retro, iaitu ZRX1200, dan rasanya sangat berbeza. Sudah tentu, itu adalah model yang menggunakan enjin besar, dan beratnya memang terasa. Sementara bagi Z900RS, saya dapati ia sangat mudah untuk dikendalikan dan lebih jelas apabila di kawasan sempit.

Bukan setakat itu, hasil penggunaan klac jenis slip and assist, tarikan tuil klac juga tidak begitu terasa. Saya menguji Z900RS ini betul-betul selepas meluangkan masa satu minggu dengan Yamaha Super Tenere 1200. Apabila mendapati klac Z900RS ini cukup mudah ditarik, terus saya tersenyum dan bezanya seperti langit dan bumi.

TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

Bagi yang lebih gemar menunggang santai, tidak tergopoh-gapah, pasti anda sudah mula tertarik, kan? Tapi sebenarnya ada lagi – tempat duduk Z900RS ini juga agak selesa. Sebagai penunggang, saya tidak kisah meneruskan perjalanan sehingga perlu mengisi minyak, dan ia juga turut mendapat pujian daripada penumpang bermula daripada kali pertama beliau duduk di atasnya.

Walaubagaimanapun, bagi mendapatkan kepastian pendapat saya tentang motosikal ini, saya telah meminta seorang rakan yang memiliki Triumph Street Twin untuk mengujinya. Kata beliau, Z900RS ini sedikit lebih agresif berbanding motosikal jenama British tersebut, dan beliau lebih senang dengan motosikal yang dimiliki sekarang.

Respon sama juga ada diberikan dalam beberapa video laporan tunggang uji luar negara berkenaan Z900RS ini, tetapi saya tidak rasa ia menjadi masalah. Ini kerana ia boleh diatasi dengan menaikkan gear lebih awal, iaitu pada sekitar 4,000 atau 5,000 rpm jika anda mahukan kuasa yang tidak begitu agresif.

Walaupun dibuat sebegitu, anda juga tidak perlu risau tentang kuasa kerana ia cukup bukan sahaja untuk menarik motosikal, malah dapat dilakukan secara lancar. Sebagai contoh, jika anda berada dalam kawasan tempat letak kereta bertingkat, anda masih boleh menggunakan gear 3 sahaja, termasuk apabila menaiki tanjakan. Selagi tahap rpm tidak turun di bawah 1,800, enjin tidak akan banyak gegaran dan kuasa mencukupi untuk menarik motosikal ke atas tanpa menukar gear.

Seperti yang dikatakan awal tadi, kuasa enjin Z900RS ini adalah sedikit kurang berbanding Z900 naked, dan ia telah diberikan telaan yang berbeza. Disertakan dengan pendapat saya tadi, pasti ada yang sudah mula merasakan Z900RS tidak cukup berkuasa. Saya boleh katakan, anda telah tersilap.

Enjin ini masih lagi dapat menjadikan Z900RS sebuah motosikal yang berprestasi dan kepuasan adrenalin dapat dinikmati apabila mengerah sepenuhnya kuasa yang ada. Mengambil contoh kalau di Karak, sudah pastilah ia tidak dapat menyaingi superbike, tapi saya rasa ia sekurang-kurangnya pasti dapat mengejutkan ramai penunggang lain yang menyalah anggap ia sebagai sebuah motosikal retro biasa.

Bila dibawa secara bersemangat, anda akan terlupa bahawa ini adalah sebuah motosikal berbentuk retro, kerana rasanya seperti sebuah motosikal naked sports. Dalam keadaan standard juga selekoh dapat diambil dengan yakin, tanpa sebarang drama hasil penggunaan fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock yang terletak mendatar di belakang seperti beberapa model supernaked dan supersport lain Kawasaki. Jika anda betul-betul mahukan prestasi, fork hadapan boleh dilaras untuk ciri mampatan (10 tahap), lantunan (12 tahap) dan pra beban.

Kuasa membrek juga cukup kuat kerana ia datang daripada unit sama yang digunakan pada beberapa model sports lain Kawasaki. Saya dapat menggunakan hanya satu jari sahaja pada tuil, dan cakera berkembar 300 mm serta angkup empat piston monobloc yang dipasang secara radial di hadapan sudah dapat mencengkam dengan baik.

Melengkapkan pakej brek ini adalah unit cakera 250 mm bersama angkup satu piston di belakang, dan ia juga dilengkapi dengan sistem ABS two-channel. Sayangnya, tiada suis yang boleh menutup ciri ABS ini bagi mereka yang mencari sedikit keseronokan tambahan. Bagi menjadikan motosikal ini lebih selamat, ia juga telah dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman KTRC yang boleh anda pilih dalam dua tahap, atau ditutup terus jika mahu.

Untuk bahan api, tangki yang disediakan adalah berkapasiti 17 liter dan saya mencatat perjalanan sekitar 250 km dalam keadaan bercampur termasuk dalam bandar dan sedikit di lebuh raya.

TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

Sejujurnya, agak sukar untuk saya mencari kelemahan atau perkara yang tidak digemari ada Z900RS ini. Jika ada pun, ia cuma rintangan angin yang kuat apabila di kelajuan tinggi, dan ini adalah masalah biasa bagi sebuah motosikal tanpa sebarang penghadang di hadapan.

Satu lagi, saya sentiasa berpendapat sesebuah motosikal akan lebih puas dinikmati sekiranya mempunyai bunyi ekzos yang sedap. Biasanya untuk mendapatkan kepuasan ini, ekzos standard perlu ditukar, tapi pada Z900RS anda boleh menikmatinya dalam keadaan standard. Jurutera Kawasaki telah mengambil masa lama untuk menghasilkan bunyi ini, dan hasilnya adalah bunyi menderam dalam yang tidak terlalu kuat tapi masih jelas kedengaran.

Dengan semua yang telah dinyatakan ini, anda sudah boleh nampak kenapa saya menggelarnya sebagai serampang dua mata dalam tajuk di atas. Z900RS ini cukup mudah dan selesa apabila berhadapan tunggangan santai, namun jika mahu dibawa bermain, ia masih boleh menunjukkan taring.

Saya juga mahu meminta maaf jika anda rasa laporan ini keluar sedikit lambat, kerana semasa saya ‘menulis’, selalu saja terganggu dengan lamunan memilikinya dan adakah patut saya mula menghantar dokumen untuk bukan sahaja mengujinya selama seminggu, tetapi memakainya terus selama mungkin.


GALERI: Kawasaki Z900RS Standard

GALERI: Kawasaki Z900RS SE

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required