PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

Sekarang ini memang banyak motosikal yang menggunakan rekaan klasik kembali dalam pasaran. Pengeluar masing-masing ada sejarah tersendiri, dan kebanyakan model-model ini seperti memberi penghormatan kepada model terdahulu dan cuba menghidupkan kembali rasa sepeti waktu kegemilangannya.

Kawasaki juga tidak terlepas daripada perkara ini. Walaupun sebenarnya banyak lagi model lain yang dikeluarkan oleh pengeluar ini dengan mengekalkan rekaan klasik (terutamanya untuk pasaran Jepun), satu model terbaru yang penting untuk pasaran global adalah Z900RS, dan ianya sudah pun dilancarkan di Malaysia.

Boleh dikatakan kita mendapat Z900RS ini agak cepat kerana ia baru sahaja diperkenalkan secara global sewaktu pameran EICMA Oktober tahun lepas, dan kini dijual pada harga RM67,900 untuk versi standard yang berwarna hijau matte dan RM69,900 untuk versi SE yang berwarna oren.

Kenapa yang berwarna oren tersebut dijadikan sebagai model versi SE? Kerana ia sebenarnya mengikut skema warna model yang dijadikan sebagai inspirasi iaitu Kawasaki Z1 yang dikeluarkan oleh Kawasaki pada tahun 70-an. Bukan sahaja warna, Kawasaki juga berusaha sebaik mungkin untuk membawa kembali rekaan ikonik model tersebut pada Z900RS yang lebih moden.

PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

Walaupun bukan seratus peratus sama, irasnya memang ada dan anda boleh melihat sendiri perkara ini pada bahagian tangki, lampu hadapan, bentuk panel meter, tempat duduk dan lampu belakang. Untuk rim pula, walaupun Z900RS ini menggunakan rim aloi, ia direka untuk memberikan rupa seperti rim spoked apabila dilihat dari tepi.

Kawasaki memanggil Z1 sebagai “Raja Jalanan” kerana pada zamannya, ia adalah sebuah motosikal yang membantu menaikkan format enjin empat silinder sebaris dan juga adalah motosikal berkapasiti tinggi Jepun pertama yang mempunyai sistem DOHC. Dengan enjin berkapasiti 903 cc juga, Z1 adalah motosikal yang bukan untuk calang-calang orang pada waktu itu.

Inspirasi klasik pada Z900RS walaubagaimanapun hanyalah pada rekaannya, kerana di sebalik itu, ia adalah sebuah motosikal moden yang mengambil asas daripada model sport Z900. Membawa gaya sebuah motosikal naked, Z900 dilancarkan di Malaysia awal tahun lalu dengan harga bermula RM49,158 (sekitar RM18,000 lebih murah daripada Z900RS).

Sebab utama harga antara dua model ini banyak berbeza adalah Z900 dipasang di dalam negara manakala Z900RS masih lagi diimport sepenuhnya dari Jepun. Mungkin untuk masa awal ini, Kawasaki Malaysia masih lagi mahu melihat sama ada Z900RS ini boleh diterima baik untuk pasaran atau tidak (pemasangan tempatan hanya boleh dilakukan jika jumlahnya tinggi).

Walaupun menggunakan asas daripada Z900, sebenarnya banyak juga perkara yang berbeza pada Z900RS. Bermula pada kerangka Trellis, bahagian belakang Z900RS dijadikan lebih rata supaya tempat duduk serta panel belakangnya juga rata manakala bahagian yang memegang tangki juga berlainan.

Kemudiannya, bagi memberikan kedudukan tunggangan yang lebih santai, Kawasaki telah meninggikan bahagian pemegang Z900RS sebanyak 65 mm, merendahkan pemijak kaki sebanyak 20 mm serta menolaknya sedikit ke hadapan, dan menaikkan sudut belokan pemegang. Selain itu, sudut kecondongan fork hadapan juga berbeza, menjadikan Z900RS ini lebih mudah dikawal.

Untuk tinggi tempat duduk pula, Z900RS adalah lebih tinggi 5 mm, menjadi 800 mm, dan Z900 lebih rendah kerana tempat duduknya melengkung ke bawah. Jika tempat duduk pada Z900RS ini tidak sesuai, anda boleh memilih satu lagi tempat duduk, tetapi ia lebih tinggi. Jika mahukannya lebih rendah, bermakna anda perlu merendahkan lagi suspensi.

Pergi ke bahagian enjin, unit empat silinder sebaris 948 cc DOHC berpenyejukan cecair yang sama seperti Z900 digunakan pada Z900RS, tetapi Kawasaki telah melakukan beberapa pelarasan termasuk pada bahagian head.

PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

Enjin Z900RS dikurangkan kuasanya sebanyak 14 PS, menjadi 111 PS tetapi puncaknya dapat sampai lebih awal iaitu pada kadar 8,500 rpm (Z900 menghasilkan 125 PS pada 9,500 rpm). Untuk tork pula, ia hanya kekurangan 0.1 Nm dan juga dapat dinikmati lebih awal pada 6,500 rpm (Z900 98.6 Nm pada 7,700 rpm).

Selain daripada itu, nisbah gear 1 Z900RS turut diubah supaya menjadi lebih pendek, manakala gear 6 pula dijadikan lebih panjang. Dengan perubahan ini, Z900RS dapat dijadikan lebih mudah untuk memulakan pergerakan dan rasa lebih selesa apabila meluncur laju di atas lebuh raya.

Untuk memberikan lebih rasa kepada penunggang, Kawasaki juga telah menyediakan Z900RS dengan ekzos yang mereka katakan agak istimewa kerana dapat menghasilkan deruman unik. Menurut wakil Kawasaki, bagi mendapatkan bunyi tersebut, ia memerlukan banyak usaha apatah lagi pada masa sama mahu melepasi pelbagai peraturan yang ada.

Bagi memberikan wakil media rasa awal menunggang Z900RS ini, Kawasaki telah menganjurkan satu sesi tunggang uji di sekitar Putrajaya beberapa hari selepas pelancarannya. Bagi setiap media, waktu menunggang adalah terhad, tidak sampai satu jam pun, jadi kami sendiri tidak dapat memberikan pandangan yang terperinci.

PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

Walaubagaimanapun, daripada sesi yang ringkas ini, kami boleh katakan Z900RS adalah sebuah motosikal yang menarik dan membuatkan kami tidak sabar menanti waktu mengambilnya untuk sesi tunggang uji sebenar nanti.

Pertamanya adalah kerana ia adalah sebuah motosikal yang selesa. Untuk kedudukan penunggang, semuanya berada di kedudukan yang santai dan tidak terasa pelik manakala tempat duduk juga cukup empuk dan lebar. Setakat mengikuti konvoi bersama pengiring dalam sesi singkat ini, kami cukup senang hati menunggang Z900RS.

Berkenaan kuasa, pelarasan yang dilakukan oleh Kawasaki ternyata berhasil. Motosikal ini cukup lancar dan mudah untuk dikawal walaupun dalam kelajuan rendah tanpa rasa tersengguk-sengguk. Turut menyumbang kepada perkara ini adalah klac yang ringan hasil penggunaan unit slip and assist.

Tetapan suspensi motosikal ini juga selesa, dan dalam masa sama masih dapat memberikan rasa yang meyakinkan waktu mengambil selekoh. Untuk pengetahuan anda juga, suspensi depan dan belakang Z900RS ini boleh dilaras sekiranya anda mahukan lebih prestasi dan mampu bertahan dengan hentakan yang lebih keras.

Dalam keadaan asal, tetapannya memang lebih kepada selesa, tetapi jika mahu, fork hadapan menyediakan tiga pelarasan iaitu mampatan (compression), lantunan (rebound) dan pra beban (preload). Di belakang pula monoshock yang diguna boleh dilaras untuk pra beban dan penyerapan (damping).

Melihat kepada kelengkapan ini, ternyata Kawasaki tidak mahu mengabaikan aspek prestasi pada Z900RS. Perkara sama turut dilakukan pada bahagian brek, di mana ia dilengkapi dengan unit cakera berkembar 300 mm serta angkup empat piston monobloc yang dipasang secara radial, dan ini adalah tetapan yang sama seperti beberapa model Kawasaki lain yang berkapasiti lebih tinggi dan berciri sport.

Di belakang pula terdapat cakera 250 mm bersama angkup satu piston. Sebagai sebuah model moden, tentunya ia dilengkapi dengan ciri ABS. Prestasi brek ini memang dapat dirasa cukup meyakinkan dan dengan sedikit tarikan sahaja pada tuil tangan, ia sudah dapat mencengkam dengan baik.

Tidak cukup dengan itu, Z900RS juga didatangkan dengan sistem kawalan cengkaman KTRC, yang disediakan dalam dua mod – Mod 1 untuk keadaan biasa manakala Mod 2 untuk keadaan jalan licin, di mana kemasukan sistem ini menjadi lebih sensitif bagi mengelakkan sebarang gelinciran pada roda.

PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

Pada harga hampir RM70,000, mungkin ada yang mengatakan Z900RS ini agak mahal bagi sebuah motosikal yang membawa gaya klasik. Pandangan harga ini sesuatu yang relatif, bergantung kepada kemampuan masing-masing, tapi kami boleh katakan, Z900RS mungkin nampak klasik, tapi di sebaliknya adalah sebuah motosikal yang moden.

Bukan setakat itu, ia juga boleh dikatakan agak lengkap dan tidak mengabaikan pakej keselamatan. Sebagai sebuah motosikal Jepun, kami juga menjangkakan penjagaannya nanti tidak begitu merumitkan.

GALERI: Kawasaki Z900RS Standard


GALERI: Kawasaki Z900RS SE

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required