TC Euro Cars (TCEC) telah memperkenalkan Renault Captur facelift bagi pasaran Malaysia. Crossover segmen-B ini menerima sedikit peningkatan luaran iaitu di bahagian hadapannya ditampilkan gril baharu dengan rekaan lampu utama yang disemak semula dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C baharu yang terletak di penjuru bampar. Sementara di belakang pula menampilkan lampu baharu dengan lampu arah LED. Captur juga menerima skid plate baharu pada bampar hadapan dan belakang.

Selain itu, Captur facelift ini dilengkapi dengan roda aloi 17-inci rekaan baharu dan juga indicator cermin sisi LED serta ia turut ditawarkan dengan tiga warna luaran baharu yang mana setiap satunya hadir dengan dua-tona iaitu Atacama Orange, Ocean Blue dan Pearl White, yang dipadankan bersama bumbung Diamond Black, menyertai pilihan warna Flame Red.

Di dalamnya, ia turut menampilkan sedikit semakan pada material kekemasan dan plastik, dengan tempat duduk balutan kulit hitam, kekemasan pintu hitam dan juga tuil gear yang direka semula supaya kabin nampak lebih moden dan sofistikated.

Kit standard lain termasuklah sistem multimedia MediaNav dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi dan sambungan AUX, USB dan Bluetooth, kamera undur, kemasukan tanpa kunci, butang push start, pengunci pintu auto, lampu utama dan bilah pengelap cermin auto. Bagi aspek keselamatannya pula, ia dilengkapi dengan empat beg udara, ESC dan bantuan mula mendaki.

Captur facelift masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.2 liter TCe 120 pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 118 hp pada 4,900 rpm dan tork 190 Nm pada 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

Tiada perubahan harga, dan Captur pemasangan tempatan (CKD) ini masih kekal dengan harga atas jalan RM109,000 (tanpa insurans). Namun ia melibatkan pertambahan kos sebanyak RM900 bagi pilihan warna Flame Red dan Pearl White, yang turut termasuk dengan kick plate dan trunk tray.

Perkhidmatan selepas jualan 5-in-Captur yang diumumkan tahun lalu juga tidak berubah. Pakej tersebut merangkumi servis dan penyelenggaraan percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk lima-tahun atau perbatuan sehingga 100,000km, mana-mana tiba dahulu. Selain itu, ia juga menawarkan waranti pengilang selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan 24 jam secara percuma.

Bukan itu sahaja, ia turut menawarkan perkhidmatan mengambil dan hantar untuk penyelenggaraan berjadual di pusat servis Renault serta servis mobiliti dengan kereta gantian sekiranya alat ganti tidak boleh diperoleh untuk tempoh 48 jam di pusat servis sah, bergantung kepada kebolehdapatan.