Selepas mengumumkan pengenalan semula jenama motosikal Itali, MV Agusta untuk pasaran Malaysia tahun lalu, serta pelancaran barisan model-model motosikal Demak yang antaranya dari asas skuter buatan China, syarikat tempatan yang juga pengedarnya, DNC Asiatic kini menamatkan operasi kilangnya di Olak Lempit, Selangor. Awalnya, para pekerja diminta berhenti sementara kilang akan penamatkan operasi secara rasmi pada 31 Mei ini.
Sumber yang enggan dinamakan memaklumkan paultan.org bahawa kilang berkenaan akan dijual untuk membayar semula hutang dan pinjaman bank yang ada. Kemudahan dengan keluasan 260,000 kaki persegi itu bertujuan untuk pemasangan skuter, kapcai dan kendearan komersil tiga dan empat roda lainnya, seperti yang pernah diperkenalkan sebelum ini.
Selain kilang di Malaysia, DNC Asiatic juga mempunyai kilang pemasangan di Sri Lanka, juga untuk mengeluarkan barisan skuter kecil. Nasib kemudahan pemasangan di sana bagaimanapun masih belum diketahui lagi – mungkin akan turut ditutup hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Bagi MV Agusta pula, DNC Asiatic sebelum ini sempat menandatangani perjanjian untuk memasang motosikal jenama itu di Malaysia, dan sempat juga membuka sebuah pusat MV Agusta Lifestyle Centre di Kuala Lumpur. Semua motosikal yang ingin dipasang di sini akan diedarkan oleh Moto Varese Asiatic.
Dengan perkembangan terbaru ini, semua operasi MV Agusta di Malaysia juga akan ditamatkan tidak lama lagi. Kelulusan sedang dinantikan daripada ibupejabat MV Agusta untuk memindahkan jenama berkenaan kepada sebuah syarikat tempatan lain. Namun, perkara itu terlalu awal untuk dipastikan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.