Kereta elektrik sepenuhnya yang pertama bagi Volvo akan tampil melalui model XC40. Begitu yang dinyatakan oleh ketua pereka Volvo, Thomas Ingenlath seperti yang dilaporkan oleh Autocar. Dikhabarkan lagi, XC40 EV berkenaan akan diperkenalkan tahun depan, sejurus selepas model Polestar 2 memasuki pasaran.
Bercakap ketika pengenalan model S60 serba baru, Ingenlath berkata syarikat itu hanya akan mengeluarkan versi elektrik bagi model-model semasa yang ada berbanding menghasilkan model-model baru EV semata-mata. Selepas melancarkan XC40 EV pada 2019, Volvo merancang untuk memperkenalkan XC90 EV serba baru pada 2021 – dengan model berkenaan akan dipasang di kilang Charleston, South Carolina.
“Bukan lagi rahsia bahawa model EV sepenuhnya yang pertama bagi Volvo adalah dalam versi XC40. Ia akan hadir tidak lama selepas pengenalan Polestar 2. Kami akan mulakan (model EV) dengan XC40, dan akan diikuti oleh SUV XC90,” jelas beliau.
“Itu adalah rancangan besar bagaimana elektrifikasi akan diperkenalkan pada barisan produk Volvo. Kami akan memperkenalkan versi elektrifikasi sebagai varian kepada model-model sedia ada dan bukannya sebagai model baru yang berasingan.
“Boleh dikatakan ini pendekatan yang berbeza berbanding kebanyakan jenama pengeluar utama yang lain. Tetapi saya sendiri sukar untuk memahami bagaimana perancangan yang mereka ambil itu akan berhasil dalam jangka masa panjang.
“Elektrifikasi adalah masa depan industri automotif. Jadi, bagaimana anda akan berdepan dengannya apa bila kenderaan elektrik menjadi lebih meluas dan majoriti dalam barisan produk anda? Bagi kami, langkah paling baik yang boleh difikirkan ialah dengan menambah versi atau varian EV pada barisan model yang sedia ada,” tambahnya.
Volvo XC40 dan XC90 versi EV akan memanfaatkan bateri lithium-ion, sama seperti Polestar 1 dan 2. XC40 misalnya turut akan ditawarkan sekali dengan versi XC40 T5 Twin Engine (versi plug-in hybrid). Menjelang 2025, Volvo mensasarkan sebanyak 50% jualannya adalah terdiri daripada model-model elektrik sepenuhnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.